Wednesday, September 7, 2011

Politikkan sejarah sebabkan ketidakadilan

http://img244.imageshack.us/img244/1432/merdeka2008jt1.jpgMerujuk kepada isu perjuangan kemerdekaan yang dicetuskan oleh arus media perdana yang memetik kata-kata dalam ucapan Mohamad Sabu mengenai Mat Indera di Padang Menora pada 21 Ogos lalu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) ingin menyeru pihak-pihak yang bertelagah untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada usaha mempertahankan negara sekarang daripada ancaman dari dalam dan luar negara.

Umat Islam ingin melihat sikap yang baik daripada kepimpinan umat Melayu Islam dan dalam situasi umat Islam yang lemah dalam segala segi, kepimpinan Islam sepatutnya bersama-sama mencari jalan untuk memperbaiki keadaan serta memperkukuhkan perpaduan, penguasaan ekonomi dan politik umat Islam dan orang Melayu.

Kita seharusnya mengambil pengajaran daripada sejarah supaya kita tidak kembali dijajah atau dikuasai oleh bangsa asing di tanah sendiri bukan bermain politik dengan isu sejarah.

Isu sejarah adalah kenyataan masa lampau dan kita berdoa supaya mereka yang terlibat diberi ganjaran mengikut ijtihad mereka.

Semua pihak telah memberi sumbangan untuk mempertahankan negara dan berjuang dengan cara masing-masing ke arah kemerdekaan dan kedaulatan negara.

ISMA mengambil pendekatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pejuang-pejuang Melayu masa lampau dan memohon keampunan atas kesilapan yang berlaku hasil daripada ijtihad masing-masing.

Firman Allah di dalam Surah Al-Hasyr, ayat ke-10 (bermaksud):

“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Mu".

Negara kita kini sedang berhadapan dengan isu yang lebih berat yang memerlukan persepakatan seluruh umat Islam, bukan berlarutan dan leka dengan mana-mana isu yang tidak membawa kepada apa-apa faedah.

Tindakan mempolitikkan isu sejarah boleh menyebabkan kita melakukan ketidakadilan kepada mereka yang terdahulu.

Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke-141 (bermaksud):

“Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah lakukan.”

Dalam pada itu, ISMA menyokong bahawa generasi baru orang Melayu perlu memahami sejarah perjuangan generasi terdahulu dalam mempertahankan akidah dan kedaulatan negara.

Menulis semula sejarah dengan mendedahkan fakta-fakta dan merakamkan bukti-bukti kejelasan risalah perjuangan Islam boleh membantu melahirkan generasi Melayu baru yang mewarisi perjuangan dan kekuatan jati diri dalam berhadapan ancaman masa depan.


Penulis merupakan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

13 comments:
Write comments
  1. Harap keadilan akan ditegakkan.

    ReplyDelete
  2. Generasi baru kita perlu tahu sejarah sebenar perbentukan negara kita.

    ReplyDelete
  3. kita perlu tau fakta sejarah sebenar mengenai negara kita.

    ReplyDelete
  4. mempolitikkan sejarah tidak akan membuahkan apa2 hasil. lebih baik tumpukan kepada perkara2 yang lebih bermanfaat untuk rakyat.

    ReplyDelete
  5. ada saja isu yang timbul sekarang ni...apa pun kita perlu bijak menilai.

    ReplyDelete
  6. sejarah yang berlalu tu biarlah berlalu. orang yang memesongkan/memutarbelitkan sejarah, biarlah urusan antara dia dan yang Maha Kuasa.

    ReplyDelete
  7. Sekarang ni dah sibuk nak politikkan sejarah pula untuk cari publisiti. Bukankah ada lebih banyak hal penting untuk diutamakan?

    ReplyDelete
  8. Di luar negara pun berlaku seperti apa yang berlaku di M'sia sekarang?

    ReplyDelete
  9. saya setuju supaya kedua2 pihak yang bertelagah memfokuskan isu2 hari ini, bukannya terus bermain dengan isu sejarah.. nanti makin rosak pula sejarah bila semua ahli2 politik buka mulut..

    ReplyDelete
  10. x salah utk membincangkan/membahaskan sejarah seadanya [bukan memutar-belitkan fakta sejarah] sbb hasilnya boleh menjadi pengajaran/panduan kpd generasi baru...

    ReplyDelete
  11. Apa barang main sejarah2 ni. Yang penting apa yang diusahakan sekarang ni. Minta sokongan pun janganlah kasi putar belit sejarah.

    ReplyDelete
  12. ahli politik dengan ahli sejarah berbeza.. sesuaikan lah perbincangan itu dengan bidang masing2..

    ReplyDelete
  13. Pembangkang sengaja memutar belitkan sejarah untuk kepentingan mereka sendiri. Pernahkah sebelum ini Pembangkang menafikan semua ini??? Kenapa sudah berpuluh-puluh tahun baru berkata-kata perkara sejarah. Mat Sabu inilah perosak keamanan negara dan boleh dikatakan komunis zaman moden.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.