Friday, July 29, 2011

BERSIH: Rakyat Banyak Bukti Polis Bertindak Ganas

PAS mendakwa polis gagal mengaitkan Bersih 2.0 dengan keganasan apabila sehingga kini tidak mendedahkan hasil siasatan penemuan senjata berbahaya dan t-shirt kuning berlogo Bersih beberapa hari sebelum perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, beliau yakin dakwaan penemuan senjata tersebut hanyalah propaganda Umno BN yang menggunakan pihak polis untuk memburuk-burukkan Bersih 2.0.

"Apa yang berlaku sebelum perhimpunan Bersih itu hanyalah propaganda Umno BN untuk menggambarkan peserta Bersih satu kumpulan militan untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.Ini matlamat sebenarnya," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Awal pagi 4 Julai lalu, polis menemui empat bahan letupan molotov coktail yang diletakkan dalam plastik hitam di Jalan Raja Laut yang didakwa akan digunakan ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai.

Bahan letupan itu didakwa ditemui bersama beberapa senjata tajam seperti pisau dan parang serta 15 mercun bola dan t-shirt berlogo bertulisan Bersih yang dibungkus dalam plastik hitam dan diletakkan dalam pasu bunga di belakang pusat beli-belah Sogo.

Salahuddin berkata, apa yang menghairankan, polis gagal membuktikan senjata tersebut digunakan peserta perhimpunan Bersih 2.0, malah perhimpunan berlangsung aman melainkan gangguan daripada pihak polis sendiri.

"Ternyata pada hari itu kita berjaya mengadakan perhimpunan yang ternyata aman dan tidak pernah sekali-kali mencderakan atau merosakkan harta awam.

"Memang kita berjaya membuktikan kita tak bawa apa-apa senjata dan bahan-bahan bukti itu perlu diisytiharkan oleh pihak keselamatan apa statusnya.

"Lepas perhimpunan Bersih kita tak tahu status barang-barang tersebut dan ke mana pergi baju kuning yang dirampas polis," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.

'Cerita' yang diada-adakan

Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menyifatkan dakwaan penemuan barang-barang tersebut sebagai "cerita" yang sama dengan kes penemuan parang dalam kereta yang dipandu Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati ditembak polis April tahun lalu.

Parang itu ditemui oleh polis di bahagian bawah tempat duduk penumpang di sebelah kiri kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid, 15, sedangkan dalam keterangan tiga saksi selepas itu, mereka mendakwa tidak pernah meletakkan parang itu di dalam kereta dan tidak pernah melihat Aminulrasyid membawa senjata itu.

Menurut Nizar, polis sengaja mengada-adakan cerita untuk memfitnah peserta Bersih 2.0.

"Saya letak cerita ini (penemuan senjata dan t-shirt Bersih) sama dengan kes Aminulrasyid dahulu, episod yang sama, fitnah dari pihak polis dan mereka kena minta maaf kepada rakyat Malaysia kerana memfitnah.

"Rakyat tak buat macam itu tapi polis mengada-ngadakan cerita jadi terbukti polis sendiri yang buat fitnah," kata beliau yang juga dihubungi Harakahdaily hari ini.

Sehubungan itu, beliau mempertikai tiadanya sebarang tangkapan yang dibuat pihak polis berhubung dakwaan penemuan senjata berbahaya yang dikaitkan dengan perhimpunan Bersih 2.0 itu.

"Kita katakan kalau betul apa yang polis dakwa, dah tentulah ada seorang dua yang ditangkap dan dakwa mereka tapi sampai sekarang tak ada sesiapa pun yang ditangkap.

"Kenapa tak ditangkap orang yang bawa barang-barang berbahaya itu? Jadi ini adalah pembohongan mereka sebelum perhimpunan Bersih. Semasa perhimpunan banyak lagi pembohongan dan begitu juga selepas perhimpunan," katanya yang juga ahli Parlimen Bukit Gantang. -HD

18 comments:
Write comments
  1. Pihak polis perlulah bertaubat.

    ReplyDelete
  2. Harap perkara yang sama tidak akan berulang.

    ReplyDelete
  3. penemuan senjata tersebut pasti masih lagi dalam siasatan polis.

    ReplyDelete
  4. Kalau cerita itu saja diada-adakan, ianya agak mengecewakan.

    ReplyDelete
  5. Diharap PDRM lebih telus dalam tindakan mereka.

    ReplyDelete
  6. Keganasan berpunca dari sikap para perhimpunan itu sendiri yang kurang faham apa yang akan terjadi bila berlaku perhimpunan haram. Sudah pasti kekecohan akan timbul, maka tidak salah pihak polis melakukan sesuatu. Sedangkan sudah diberikan amaran sejak mula lagi sebelum perhimpunan itu diadakan.

    ReplyDelete
  7. harap PDRM tidak melakukan kegiatan sedemikian kerana ini bukan sahaja mengaibkan tetapi juga menjatuhkan maruah Melaysia di mata dunia.

    ReplyDelete
  8. Itulah lain kali jangan lakukan sebarang perhimpunan haram lagi.

    ReplyDelete
  9. Jangan salahkan polis kerana polis hanya menjalankan tugas mereka.

    ReplyDelete
  10. Tuduhan perlu bersertakan bukti.

    ReplyDelete
  11. Semua ini akan mempengaruhi PRU yang akan datang.

    ReplyDelete
  12. selepas perhimpunan pelbagi isu yang timbul. sebaiknya jika perhimpunan seperti itu tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

    ReplyDelete
  13. Ada lagi bukti lainkah selain yang telah disiarkan?? Saya tengok perkara itu berulang-ulang saja. Tidak ada gambar lain lagi yang dilampirkan.

    ReplyDelete
  14. Hal ini akan terus berpanjangan jika ia tak ditanggani dengan cara baik.

    ReplyDelete
  15. Semoga perkara ini selesai dan tidak mengundang masalah lain lagi.

    ReplyDelete
  16. Polis harus siasat bukti yang dikemukakan dan ambil tindakan terhadap polis yang bersalah.

    ReplyDelete
  17. dimana amannya jika ramai peniaga tutup kedai, pelancong lari, orang awam balik kampung?? adakah aman bila peserta berarak beramai2 dijalan raya yang tentunya menggangu lalu lintas?? bagi saya penganjur Bersih la yang mempunyai matlamat lain sehingga sanggup melanggar titah Agong dan tidak menghiraukan amaran pihak polis.

    ReplyDelete
  18. entah pihak mana yang benar. rakyat pun kebingungan mendengar dakwaan dari dua belah pihak. harap isu ini akan segera berakhir.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.