Tuesday, July 26, 2011

BN Jangan Anggap Rakyat Bodoh!

Barisan Nasional(BN) diingatkan supaya tidak lagi memperbodohkan rakyat hari ini dengan penggunaan media tradisional yang dikuasai mereka, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Malah katanya, rakyat khususnya generasi muda hari ini bebas berfikir serta mendapatkan maklumat biarpun ia cuba disembunyikan pentadbiran Umno-BN.

"Kini, dalam rakyat kita sudah wujud satu generasi baru yang bebas berfikir, bebas mendapat maklumat dan mengetahui fakta sebenar. Disebabkan itu, kerajaan tidak seharusnya melayan rakyat seperti di era 1980-an walaupun radio nasional cuba mengembalikan nostalgia lama," katanya dipetik Harakahdaily.

Justeri itu, beliau menyifatkan zaman ini sebagai zaman kebangkitan rakyat dan menyeru BN melihat sendiri bukti itu pada waktu ini.

Katanya, ia termasuk kebangkitan masyarakat peneroka yang menyedari mereka ditipu oleh Felda selama bertahun-tahun, dan kini mula bangkit menyaman Felda, bahkan mereka sudah memenangi beberapa kes terhadap organisasi yang seharusnya menjaga kebajikan mereka.

Selain itu, rakyat juga sudah mula berani bangkit membantah saman ekor, kenaikan tol dan harga barangan lain.

Bukti paling jelas dan masih segar jelasnya, ditunjukkan rakyat pada himpunan Bersih 2.0 yang berlangsung 9 Julai lalu bagi menuntut pilihan raya yang adil, bersih dan telus.

Namun apa yang menyedihkan kata Tuan Ibrahim, kebangkitan rakyat itu dicop sebagai penentang kerajaan dan pro pembangkang.

"Kalaulah, kerana kesempitan hidup, mereka terpaksa berhimpun membantah kenaikan harga barang, maka hilangkan status mereka sebagai rakyat jelata parti pemerintah, mereka akan dicop rakyat pro pembangkang yang tidak harus dibantu.

"Kini, apabila mereka berani untuk berhimpun menuntut sesuatu yang lebih besar dari keperluan hidup mereka iaitu satu sistem pilihanraya yang lebih adil dan bersih demi masa depan anak-anak dan cucu-cucu mereka, mereka terus dicop sebagai peserta perhimpunan haram yang patut ditembak dengan air asid dan pemedih gas mata atas dakwaan cuba menjatuhkan kerajaan," katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan kini begitu angkuh sehingga menganggap semua yang dilakukan mereka dikatakan semuanya betul - dan semua yang dilakukan rakyat salah belaka.

Dengan semangat slogan ‘Malaysia Boleh’ kerajaan jelasnya berani melakukan apa sahaja semata-mata demi kuasa dan kerana mereka menguasai media.

"Tapi, beringatlah kerajaan bahawa pada hari ini semakin banyak rakyat yang tidak mempercayai media perdana!

"Rasa tidak puas hati rakyat semakin melebar… dan mereka sayangkan negara – tetapi jangan pula kerajaan salah anggap – sayang negara mereka bermaksud sayang kerajaan pemerintah. Pada saat mereka sayang negara, mereka juga benci pemimpin yang ego, sombong, tamak, rakus dan zalim," tegasnya. -GB

11 comments:
Write comments
  1. Rakyat perlu pandai menilai dan bertindak.

    ReplyDelete
  2. rakyat yang bijak pasti tidak dikaburi oleh media2 yang dimanipulasi oleh pihak berkepentingan.

    ReplyDelete
  3. rakyat tau jg mana yang terbaik untuk mereka.

    ReplyDelete
  4. Rakyat ada fikiran mereka sendiri dan pendapat mereka sendiri tentang mana-mana parti. Tapi jika dilihat sendiri PR sendiri yang sering kali mencari cara untuk menghantui fikiran pemuda.

    ReplyDelete
  5. Media memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat yang benar dan tepat kepada masyarakat. Namun banyak media sudah dimanipulasi oleh pihak2 tertentu demi kepentingan mereka.

    ReplyDelete
  6. Jangan hanya tahu menuding jari kepada kerajaan. Pembangkang pun tidak lari daripada memanipulasi saluran media yang ada. Hipokrit.

    ReplyDelete
  7. setuju dengan fernandez, jangan hanya tahu menuduh kerajaan tapi PR juga perlu mengelakkan diri daripada memanipulasi sesuatu isu.

    ReplyDelete
  8. fikiran rakyat dipelosok kampung saja yang menerima bulat-bulat Bn, bagi yang tinggal dibandar dah kenal siapa Bn sebenarnya

    ReplyDelete
  9. Pakatan juga jangan anggap rakyat bodoh dengan sewenang2nya menghasut rakyat untuk menjadikan mereka sebagai perisai bagi membolehkan pemimpin2 pakatan merampas kerajaan. kenapa selama ini Pakatan tidak bangkitkan tuntutan bersih di Parlimen? dan bolehkan Pakatan memberikan jaminan bahawa sekiranya berjaya merampas kerajaan semua harga barang, tol, petrol dsbnya akan kekal sampai kiamat??

    ReplyDelete
  10. Kerajaan ka, pembangkang ka biar rakyat yang memilih nak sokong siapa?

    ReplyDelete
  11. Multi-media yang semakin maju berjaya sampaikan maklumat dan informasi kepada semua rakyat. Baik dan buruk tetap rakyat perlu ambil tahu untuk memajukan negara bersama-sama.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.