Tuesday, July 19, 2011

Muzium Pendidikan Pertama Negara Dirasmikan

TANJUNG MALIM: Bangunan Suluh Budiman di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dibina pada tahun 1919 kini dinaik taraf sebagai Muzium Pendidikan Nasional (MPN) dengan kos RM9.8 juta.

Muzium pendidikan yang pertama negara itu dipulihara dengan kos tersebut dan boleh diiktiraf sebagai mercu tanda kegemilangan pendidikan tanah air disempurnakan perasmiannya oleh Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun pada Selasa.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Aminah Ayob.

Zambry dalam ucapannya pada majlis itu berkata pemilihan bangunan berkenaan sebagai muzim pendidikan pertama negara amat bertepatan sekali kerana sejarah perkembangan pendidikan nasional banyak bermula di UPSI yang dahulu dikenali Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI).

"Bangunan Suluh Budiman ini banyak berjasa dengan pembangunan negara dan bangsa malah kebangkitan nasionalisme yang menjadi pemangkin kepada perjuangan kemerdekaan turut bermula di sini," katanya. Zambry berkata kerajaan negeri yakin muzium itu dapat memainkan peranan sebagai pusat khazanah segala sumber ilmu serta sejarah pendidikan negara.

Katanya, UPSI telah melahirkan ramai tokoh pendidikan berkaliber dan pemimpin tersohor seperti bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Ghafar Baba dan tokoh pendidikan Tan Sri Awang Had Salleh.

Sementara itu, Aminah berkata pembukaan muzium tersebut merupakan satu penghormatan kepada dunia pendidikan negara melalui pameran khazanah lama dan terkini yang melambangkan pencapaian sistem pendidikan di Malaysia dari era sebelum merdeka sehingga kini.

"Bangunan ini sebuah bangunan bersejarah yang didaftarkan sebagai Warisan Kebangsaan pada 12 November 2009 kerana mempunyai nilai sejarah yang penting kepada pembangunan negara khususnya dalam bidang perguruan dan pendidikan," katanya.

Beliau berkata bangunan berkenaan mula beroperasi pada 1922 sebagai sebuah maktab untuk latihan perguruan yang dikenali sebagai Sultan Idris Trainning College (SITC) atau MPSI.

Projek pemuliharaan bangunan itu dimulakan pada 24 Ogos 2009 untuk dijadikan sebagai MPN dengan merujuk kepada prinsip konservasi bangunan bersejarah seperti diperuntukkan mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan garis panduan Konservasi Jabatan Warisan Negara.

Pelawat ke MPN boleh menyaksikan pameran di 19 buah galeri, dua bilik bacaan selain mendapatkan bahan rujukan melalui sistem komputer yang disediakan.

UPSI juga sementara itu turut menyediakan sistem digital yang membolehkan bahan-bahan pameran dimuat naik ke dalam webnya bagi kemudahan pelayar internet seluruh dunia mengikuti sejarah pendidikan negara.-BERNAMA

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.