Tuesday, July 19, 2011

Tegur Pemimpin Hak Rakyat Jelata

http://peraktoday.com/wp/wp-content/uploads/2011/07/dato-seri-najib-tun-abdul-razak.jpgKITA belajar daripada ibu bapa kita. Bernasib baiklah anak-anak yang mempunyai ibu bapa yang sempurna – akal, tubuh badan, kesihatan, iman dan moral. Jadi, benarlah kata pepatah, bapa borek anak rintik. Ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi.

Saya adalah anak emak dan ayah saya. Salah satu ilmu dan panduan yang ayah saya ajarkan ialah “dengar teguran dan jangan takut menegur.”

Dulu kita jaga tepi kain orang. Apabila di masjid atau surau, kita memang jaga tepi kain orang. Kalau tepi kain orang kena najis dan lumpur atau carik sehingga dedah aurat, kita tegur. Kita tidak mahu najis dan kekotoran seorang jemaah mencacat solat berjemaah.

Kita jaga tepi kain jiran-jiran kerana kita tidak mahu anak-anak mereka jadi budak jahat dan ganggu ketenteraman kampung.

Kita bagi tahu mereka dan kita tegur anak-anak mereka. Mereka tidak marah kepada kita. Silap hari bulan, anak yang diadukan itu yang kena tempeleng. Saya pun pernah ditegur atau, dalam bahasa jalanan hari ini, kena sound, oleh jiran-jiran kerana buat bising, curi buah rumia (kundang) Pak Su Salleh atau kurang sopan di majlis kenduri. Saya terhutang budi kepada mereka kerana menjaga tepi kain keluarga saya.

Hari ini, jaga tepi kain menjadi ungkapan kotor. Silap-silap kena maki atau penumbuk di muka. Dulu kita jaga tepi kain orang demi kebaikan kerana adat berjiran saling tegur-menegur dan ingat-mengingati.

Hasil ajaran itu, saya tidak berasa bersalah menegur, apatah lagi menegur orang yang kita pilih, kita upah dan kita restui untuk memimpin kita.

Sama ada secara sulit atau secara terbuka, secara lisan atau melalui tulisan, saya sentiasa menjaga tepi kain mereka kerana kalau kain mereka penuh najis, bagaimanakah mereka boleh “mengimamkan” kita.

Tidak kira Dr Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Daim Zainuddin, Abdullah Ahmad Badawi, Mohd Najib Abdul Razak, Muhammad Muhammad Taib, Abdul Rahim Tamby Chik atau Dr Khir Toyo dan ramai lagi saya tegur.

Saya mulakan dengan “menegur” mereka secara sulit. Seelok-eloknya secara bersemuka kerana saya perlu menjaga air muka mereka. Ada kalanya saya mengutus surat.

Ketika pilihan raya umum 1999 dan selepasnya saya “menegur” pendekatan dan cara kerajaan dan Barisan Nasional menangani isu Anwar.

Saya terpaksa “menegur” kerana selama hampir 16 tahun – sebagai wartawan dan pengarang – antara tugas wajib saya adalah mempromosikan Anwar.

Ketika di puncak kemasyhurannya, Anwar adalah “untouchable” dan “could do no wrong” – tidak boleh dicuit dan tidak mungkin melakukan kesalahan. Segala bisikan saya – seperti bisikan ramai orang lain – ditolak sebagai iri hati dan fitnah.

Apabila saya menulis sebuah pojok mengenai Brutus menikam Julius Caesar dari belakang dalam kolum “Kunta Kinte” Berita Harian, ia diberhentikan serta-merta. Waktu itu, media massa difrancaiskan kepada Anwar. Pengarang lantikan Anwar amat berkuasa.

Menegur dan Ditegur

Saya “menegur” mengenai beban peribadi pemimpin BN akibat gerak-geri mereka, campur tangan ahli keluarga mereka dan perniagaan anak-anak mereka.

Selepas PRU 1999, giliran saya pula “disound” kerana “menegur” kaedah kempen iklan BN dan ingkar arahan. Turut kena “sound” adalah Quek Leng Chan yang ketika itu menguasai kumpulan akhbar Nanyang.

Menjelang pertengahan tahun 2000 saya mendapati saya tidak dapat lagi meneruskan tugas sebagai Ketua Pengarang Kumpulan NSTP tanpa kehilangan saki-baki kredibiliti saya. Maka saya pun meletakkan jawatan. Quek pula menjual kepentingannya dalam Kumpulan Nanyang.

Apabila Anwar berucap kepada badan pemikir swasta Amerika, Council on Foreign Relations di New York ketika Krisis Kewangan Asia sedang memuncak (September, 1998 ), saya berada di situ dan “menegur” beliau.

Saya berkata, walaupun penghujahan beliau mengenai teori “constructive destruction” ciptaan Joseph Schumpeter dalam tesisnya mengenai kapitalisme, sosialisme dan demokrasi pada tahun 1942 mendapat sambutan hangat daripada audiens Amerika, ia mungkin tidak disenangi bosnya di Kuala Lumpur.Ringkasnya, Anwar dan penulis ucapannya menganggap Krisis Kewangan Asia 1997/98 sebagai kemusnahan yang membina.

Kemudian, ketika saya bersama beliau di dalam kamarnya di hotel JW Marriott, Washington DC, Anwar mendapat panggilan daripada kawan akrabnya, Michel Camdessus, yang ketika itu menjadi Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF). Sekali lagi saya “sound” beliau dengan mengatakan yang bosnya di Kuala Lumpur tidak begitu senang hati dengan percubaan campur tangan IMF.

Saya “sound” Abdullah mengenai cara beliau mengawal media massa, Mohd Najib mengenai rumah tangganya (seperti pernah saya katakan, saya kenal Mohd Najib sejak 1977), Muhammad Taib dan Dr Khir Toyo mengenai pengagihan tanah negeri untuk pembangunan dan Abdul Rahim mengenai gaya hidupnya.

Saya mengingatkan Muhammad Taib dan Dr Khir Toyo mengenai pendahulu mereka yang jatuh kerana skandal dan rasuah.

Tegur Bukan Kerana Benci

Saya tegur kerana saya berasa itu tanggungjawab saya. Sebagai wartawan dan pengarang media arus perdana ketika itu, beban mereka adalah beban saya.

Tentulah tidak semua mereka suka saya menegur mereka. Apatah lagi apabila teguran itu menyentuh hal-hal peribadi dan keluarga mereka. Dan kita tentulah tidak popular dengan membuat teguran itu.

Tetapi bagi saya mudah saja, seorang pemimpin yang tidak bersedia ditegur atau tidak mengendahkan teguran lambat-laun akan tersesat jalan, ditolak oleh rakyat jelata dan mungkin juga diheret ke muka pengadilan, lebih-lebih lagilah apabila berlaku pertukaran parti yang memerintah.

Lihatlah apa yang berlaku di Thailand dan Taiwan, dan kini di negara-negara Arab. Lihatlah apa yang terjadi kepada Hosni Mubarak di Mesir dan Zine El Abidine Ben Ali di Tunisia. Atau yang lebih dekat, Suharto di Indonesia.

Pendek kata, pendirian saya mudah saja dan saya kerap mengulanginya. Kita pilih pemimpin melalui pilihan raya. Kita beri mereka kepercayaan. Kita beri mereka upah. Kita bayar cukai. Kita tidak pernah pilih isteri, anak-pinak, suku-sakat dan sahabat-handai mereka.

Kita beri kuasa kepada mereka bukan untuk difrancaiskan kepada kaum keluarga, sahabat-handai dan FOPM.

PS: Mengenai Mohd Najib menjalin perhubungan diplomatik dengan Vetican, saya dapati berita pesanan rungkas The Star yang berbunyi “Najib meets Pope and announces diplomatic ties with the Vetican to help promote values of moderation and harmony” sangat memeranjatkan.

  1. Adakah selama ini kita tidak mempromosi dan mengamalkan nilai-nilai sederhana dan harmoni?
  2. Apakah Islam, agama rasmi Persekutuan, dan budaya Melayu, teras budaya kebangsaan, tidak menekankan kesederhanaan dan keharmonian;
  3. Apakah kita memerlukan bantuan Vetican untuk mempromosikan nilai-nilai sederhana dan harmoni?; dan
  4. Bukan semua orang Kristian Malaysia berkiblatkan Vetican. Bancian penduduk tahun 2000 menunjukkan ada 9.1 peratus penganut Kristian yang terdiri daripada Anglican, Baptist, Bretheren, Lutheran, Methodist, Presbyterian dan Roman Katolik.

Wallahualam.

http://kadirjasin.blogspot.com

22 comments:
Write comments
  1. Pemimpin yang sanggup mendengar teguran dan membuat peningkatan lebih baik daripada pemimpin yang selalu merasakan dirinya betul dan enggan berubah. Fikir-fikirkan.

    ReplyDelete
  2. Hak rakyat perlulah ditegakkan.

    ReplyDelete
  3. biarlah teguran/menjaga tepi kain orang itu demi kebaikan dan bukan untuk menjatuhkan atau mengaibkan.

    ReplyDelete
  4. harap seorang pemimpin dapat menerima kritikan dan teguran untuk memperbaiki kelemahan yang tidak dilihat/tidak disedari oleh diri sendiri.

    ReplyDelete
  5. Rendahkan hati dan dengar teguran yang diberikan. Lihat teguran dari segi yang positif dan buatlah perubahan.

    ReplyDelete
  6. Penulis ini memang berani menegur dan nampaknya beliau agak rapat dengan orang2 berpengaruh. Tentu banyak rahsia yang diketahui olehnya.

    ReplyDelete
  7. teguran yang membina dan untuk kebaikan itu adalah baik dan wajar. tapi jika teguran itu untuk menjatuhkan atau mengaibkan, itu adalah tidak baik.

    ReplyDelete
  8. seorang pemimpin harus bersikap terbuka dan dpt menerima teguran dgn baik. setiap teguran yang membina harus dijadi iktibar.

    ReplyDelete
  9. Perdana Menteri haruslah lebih berfikiran terbuka sebagai seorang ketua Negara.

    ReplyDelete
  10. kalau dah jadi pemimpin siapa berani buat teguran suara tak diendahkan apa nak jadi?

    ReplyDelete
  11. Tegur bukan kerana benci, kerana kita sayang.
    Kerana kita sayang, kita tegur.

    Tulisan yang amat bermakna dan baik. Penuh dengan ajaran. bagus sekali.

    ReplyDelete
  12. Orang diatas san atidak suka ditegur. Mereka gemar dipuji. didokong. Walau tindakan yang paling bodoh dilakukan, orang keliling mereka tetap mendokong demi kedudukan diri.

    ReplyDelete
  13. Manusia yang kearifan menerima teguran dengan hati terbuka. Kerana mereka faham teguran dari orang yang kebijaksanaan akan memajukan diri mereka.

    ReplyDelete
  14. Teguran yang baik membawa kesedaran diri. Kadangkala kita dibutakan oleh kuasa, nafsu dan kebendaan. Teguran yang tepat pada masa dapat meyedarkan kita.

    ReplyDelete
  15. Bukan senang mau terima teguran. Kadang kala kita sedar akan kesilapan tapi tidak rela mengaku.

    ReplyDelete
  16. Rela menerima teguran bermakna kita masih dapat berjalan lebih jauh.

    ReplyDelete
  17. One must learn to accept criticism and learn from their mistake.

    ReplyDelete
  18. I hope our PM will learn to be more open minded in dealing any matter.

    ReplyDelete
  19. teguran itu biar la ikhlas, jujur dan bukan bertujuan untuk menjatuhkan atau menghasut.

    ReplyDelete
  20. satu artikel yang ada kebenarannya..

    ReplyDelete
  21. terima sahajalah teguran itu secara positif.

    ReplyDelete
  22. kita ni siapa nak buat teguran..apa yang kita dapat?

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.