Saturday, July 30, 2011

Najib PM Terakhir Dari UMNO?

Ketika orang berdedai-dedai turun ke jalan raya dengan si tua kelaparan, anak muda tak berpekerjaan, bayi kesejukan kala malam dan satu-satunya harapan politik terakhir ialah berdemontrasi, Saif al-Islam Gaddafi bergilir ditemuramah wartawan dari ruang Istana Presiden.

Saif, 39, adalah anak kedua Presiden Libya, Muammar Gaddafi. Babak-babak ini berlaku hanya beberapa bulan sebelum di Kuala Lumpur, demonstrasi bersejarah 9 Julai lalu terjadi - BERSIH 2.0.

Saif yang boleh bertutur Inggeris dengan telo Arab ditugas berhadapan dengan wartawan dan media antarabangsa; menjawab dan menjelaskan kepada dunia apa yang "sebenarnya" terjadi. Seperti yang terduga, omongan penguasa totalitarian di mana-mana pun sama.

Saif menuduh pendemonstran yang menentang bapanya adalah dari rangkaian pengganas al-Qaeda. Mereka juga kata Saif, "pengkhianat" yang bermunculan daripada pendalaman - sedangkan di Tripoli, ibu negeri, sentiasa aman.

Tuduhan "pengkhianat" mahupun "al-Qaeda" tak ubah seperti tuduhan pentadbiran Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak kepada mereka yang turun ke jalan raya kelmarin dalam demontrasi BERSIH 2.0. Di sini, pemimpin dan aktivis yang ditangkap di bawah Ordinan Darurat (EO) tak boleh bertemu meski dengan anak-isteri.

Revolusi di beberapa negara Arab awal tahun ini antara lain menyelongkar perasaan yang terbuku di hati rakyatnya. Bukan sahaja soal korupsi, pembolotan kekayaan negara oleh segolongan elit, tetapi gaya politik legasi-nipotisme juga mulai ditolak. Mesejnya ialah, sama ada di Tunisia, di Mesir dan Libya, dalam lubuk sanubari manusia mereka menolak pemimpin politik yang mahu mewariskan pemerintahan kepada darah keturunan sendiri.

Sedar tak sedar, antara latar kebencian dan penentangan menjurus kepada Husni Mubarak adalah persoalan ini. Dia ditumbangkan kalamana Mubarak khabarnya dalam proses peralihan kuasa kepada pewaris yang dia sudah siapkan dari rahim isterinya, Suzanne. Menjadi rahsia umum di Mesir bahawa anak sulung Mubarak, Gamal, akan menggantikan si bapa sebagai Presiden.

Faham ala-maharaja dan rendah tamadun sebegini nampak berlaku di mana-mana. Mungkin sahaja, keresahan Sasterawan Negara, Pak Samad ada asasnya. Orang Malaysia, terutama sebelum krisis politik-ekonomi 1997-98, juga berfikiran feudal dan lapuk sebegitu. Rakyat kebanyakan (yang sekaligus memegang kuasa undi terbesar), dengan mudah-mudah melepaskan kuasa politik-pemerintahan kepada kelompok kelas atas, atau apa yang disebut Pak Samad sebagai "golongan bangsawan".

Cacatnya golongan ini mudah, iaitu mereka (yang dibesar dalam lingkungan elit) takkan dapat merasakan denyut-nadi rakyat sampai ke bawah-bawah. Jauh lagi untuk fahami. Bukan juga rahsia apabila golongan bangsawan itu tak mahu anak-anak mereka bersekolah di sekolah mahupun universiti kebangsaan. Sementara sistem pendidikan yang mereka cipta dan mahu rakyat mendukung, mereka sendiri tak memakainya.

Pak Samad menamakan dari PM pertama, Tunku Abdul Rahman Putra yang lahir di anjung istana, sehingga kepada PM hari ini, Najib yang orang tuanya juga perdana menteri. Menurut Pak Samad, yang terlepas daripada lingkungan keluarga bangsawan (barangkali) cuma Mahathir Mohamad. Abdullah Badawi yang sempat berkuasa sekelip mata, yang lahir daripada tatanan agamawan juga ditanda sebagai cebis-cebisan golongan bangsawan.

Rakyat selalu diwar-warkan, dipaku di dalam fikiran dan hati bahawa anak kepada seorang perdana menteri, misalnya, sediakala arif soal politik dan pentadbiran. Dia boleh meneruskan apa yang baik, yang pernah dilakukan oleh bapanya. Semua keyakinan ini tertanam sejak awal-awal lagi, dan, tak pernah dipersoal entah iya entahkan tidak. Padang permainan tak pernah sama rata…

Memandang kepada susur-galur Dato' Onn Jaafar, kalau diangkat sebagai contoh, baik anak Dato' Onn iaitu Hussein Onn mahupun si cucu, Hishamuddin Hussein; keduanya tak nampak tanda menginsafi idealisme leluhur mereka. Masing-masing buat endah tak endah terhadap antara idea utama Dato' Onn iaitu gagasan mahu menjadikan Umno sebagai parti pelbagai kaum. Masing-masing hanya menggunakan bayangan ayah sebagai batu loncatan.

Gamal si anak Mubarak itu misalnya, dia memulakan kerjaya sebagai pegawai pelaburan perbankan di Bank Amerika. Di dalam parti yang dikuasai bapanya, Parti Demokratik Nasional, sedari awal Gamal dilantik sebagai timbalan setiausaha agung - di samping kuncu-kuncunya mulai diposisikan di jawatan-jawatan berpengaruh.

Dalam kes Najib, jejak politik beliau pertama kali menjadi ahli parlimen ialah pada umur 23 tahun; menggantikan sang bapa yang meninggal dunia mengejut. Malah sejak pulang belajar dari England, Najib sudah bertugas di Bank Negara dan Petronas.

Pencapaian-pencapaian Najib pernah dijadikan dokumentari propaganda; ditayang di TV1 seawal beliau memegang jawatan. Antara tujuan dokumentari itu antara lain untuk menimbulkan rasa "gerun" di hati rakyat terbanyak - sedangkan boleh dipersoal, separuh pencapaian Najib tak lain kerana dia anak seorang PM.

Apakah tanpa nama Razak di belakang nama Najib, beliau boleh jadi Menteri Besar Pahang pada umur 29, mahupun sebagai timbalan menteri pada umur 25?

Dengan semua kemudahan dan peluang luar biasa yang terbentang itu, Najib tentulah tak pernah berfikir dan bersusah-payah sepertimana ramai anak muda seangkatannya. Jauh lagi mengharap Najib benar-benar merasai perih-payah sebagai orang bawah. Kalau di kampung saya, anak ketua kampung yang berangan untuk juga menjadi ketua kampung akan dicemuh kawan-kawan…

Betapa presiden-presiden Filipina yang masuk-keluar Istana Malacanang juga berlegar-legar selingkar sembilan keluarga tuan-tuan tanah di Filipina. Bangsawan ini mampu miliki kekayaan, tanah serta ladang maha luas diwarisi sejak zaman penjajah Sepanyol. Presiden Filipina sekarang, Benigno C. Aquino III pun bukanlah seorang yang terkenal cemerlang gagasan pembangunan dan politik ke atas bangsanya, meski keperibadian-politiknya beliau tetap sahaja seorang yang dikatakan demokratik.

Kini sedikit-sebanyak kita boleh bertanggapan bahawa "lusuhnya" Rumah Putih tak lain apabila George W Bush si anak memasuki dan mendiaminya selama dua penggal. Tak biasa dalam sejarah kepresidenan Amerika Syarikat, anak-beranak atau suami-isteri bergiliran memegang jawatan presiden. Berbanding Bush si ayah yang tak sempat melancarkan perang ke atas Iraq, Bush Jr jualah yang lengkapkan misi itu. Saya kira itulah sumbangan terbesar Bush kepada tamadun manusia.

Dengan layanan buruk, kecaman melulu dan tindakan anti demokrasi menjelang demonstrasi BERSIH 9 Julai lalu, dilatari kemunafikan elit penguasa, Pak Samad melontar sebuah harapan. Katanya dalam temubual yang sama dengan portal Malaysiakini, "Bapak harapkan dalam pilihanraya yang akan datang ini mereka (kerajaan UMNO-BN pimpinan Najib) mundurlah ataupun jatuh."

Rakyat tak pernah memilih Najib sebagai PM. Abdullah Badawi yang memberikan kunci Seri Perdana kepadanya - sementara era politik anak-cucu dan menantu sudah mulai dipertikai.

Maka PRU ke-13 bakal jadi tanda aras sama ada rakyat bersedia meleraikan sistem pemikiran politik feudal atau tidak. Dari kata-kata Pak Samad, fahamlah kita bahawa biarlah Najib jadi PM terakhir dari UMNO yang mewakili sistem sebegini. Selepas lebih 50 tahun, sekarang peluang bagi bangsa kita bebas dari cengkaman golongan bangsawan dengan sebuah zaman baru yang waras dan adil perlu segera ditempa.

*Hasmi bin Hashim, 35 - seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Buddhi Hekayat. -jalantentawi.com

28 comments:
Write comments
  1. hanya rakyat yang mampu membuat perubahan.

    ReplyDelete
  2. Pilihanraya tidak lama lagi, tidak perlu la meneka-neka Najib adalah yang terakhir.

    ReplyDelete
  3. Ini hanya psychology... ingin membuatkan UMNO gelabah dan hilang fokus...

    ReplyDelete
  4. Hanya bila PRU-13, barulah kita akan tahu. Jangan begitu yakin dulu.

    ReplyDelete
  5. Keputusan berada dalam tangan rakyat.

    ReplyDelete
  6. kita tgk sahaja adalah andaian ini benar.

    ReplyDelete
  7. Benarkah? selepas PRU13 baru tahu.

    ReplyDelete
  8. Bagaimana pemerintah Najib akan kita ketahui keputusan tersebut dalam PRU13. Sama2 kita tunggu dan lihat.

    ReplyDelete
  9. Masing2 ada pandangan tersendiri.

    ReplyDelete
  10. Kalau tidak mahu Najib jadi PM, jadi mahu siapa? Anwar? Tidak payahlah.

    ReplyDelete
  11. panjangnya artikel...tapi sya tetap yakin yg Najib akan berjaya untuk mengekalkan jawatan yg dipegangnya sekarang...

    ReplyDelete
  12. ini hanya pandangan penulis..tapi, itu terpulang kepada rakyat untuk membuat pilihan. jika Njib mampu menunjukkan prestasi yang baik pasti rakyat akan menyokong.

    ReplyDelete
  13. Tunggu dan lihat sajalah nanti. Susah juga mahu cakap. huhu

    ReplyDelete
  14. Nampaknya Najib kena lipat gandakan lagi usahanya utk membuktikan pada rakyat dia layak jadi pemimpin.

    ReplyDelete
  15. Apa rakyat mahu mudah saja, dapat cari makan, anak dapat sekolah, kalau prestasi cemerlang, dpt biasiswa. Kos hidupan harian jangan terlalu tinggi. Kalau ada pertenglikahan dan kena selesai di mahkamah, ada hakim yang adil.
    Kurang jenayah dan polis cekap. Kaki tangan kerajaan semua berprestasi baik dan jika terdapat yang tidak layak, mereka letak jawatan sendiri.
    Atas adalah sebahagian permintaan rakyat, jika dapat ditunaikan, PM kekal jadi PM.

    ReplyDelete
  16. Memang PM bukan dari golongan hidup susah, tak pernah rasa kesusahan hidup.

    ReplyDelete
  17. Faktah-faktah cukup berasas tapi tidak bermakna Najib PM terakhir buat UMNO.

    ReplyDelete
  18. Jiak Najib berani dan sanggup memgetui arus perubahan besar-besaran UMNO dan BN, beliau bakal menjadi seorang pemimpin negara yang terunggul dalam sejarah Malaysia.

    ReplyDelete
  19. 1 Malaysia bukan setakat slogan, rakyat mahu lihat perlaksanaan yang realistik bukan setakat memberi laptop atau beras berjenama 1 Malaysia.

    ReplyDelete
  20. Bekekalan atau tidak terpulang pada rakyat.

    ReplyDelete
  21. Ubah kerajaan Sekarang yang zalim!

    ReplyDelete
  22. Samada politik feudal atau tidak, zaman baru yang waras dan adil perlu segera ditempa.

    ReplyDelete
  23. rakyat sahajalah harapan untuk menentukan nasib Najib..

    ReplyDelete
  24. Saya pasti semua yang dibuat Najib adalah bagi kepuasan rakyat. Harap-harap rakyat dapat bertolak ansur dengan tindakan kerajaan.

    ReplyDelete
  25. kalau benarpun Najib adalah PM terakhir dari umno, semua itu adalah hasil usaha pihak pembangkang yang sudah sekian lama mengidamkan jawatan kabinet. apa sahaja cara pasti akan digunakan walaupun cara itu boleh menghancurkan negara..

    ReplyDelete
  26. Malaysia merupakan negara berdemokrasi.. semua pihak/parti diberi peluang masing-masing. Cuma orang yang berkalibar yang patut dipilih untuk melaksanakan tugas demi kemajuan negara. Pilihanraya yang akan datang akan membuktikan sama ada parti yang dipilih oleh rakyat sama ada berkalibar atau tidak.

    ReplyDelete
  27. Sesiapa yang bertanggungjawab dan berdedikasi kepada rakyatnya juga layak menjadi PM Malaysia. Sama ada Najib PM akhir dari UMNO, masing-masing kita menunggu dan melihat keputusan pilihanraya yang akan datang. Peluang diberi kepada semua pihak.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.