SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat (AS) - Pengasas bersama syarikat gergasi komputer dan teknologi maklumat, Apple Inc., Steve Jobs meninggal dunia pada usia 56 tahun akibat kanser pankreas kelmarin.
Dianggap pencetus revolusi budaya moden menerusi ciptaannya seperti iPod, iPhone dan iPad, kematian Jobs berlaku ketika Apple Inc. berada di kemuncak kegemilangannya sebagai pengeluar gajet telekomunikasi terbesar di dunia.
"Kami semua sedih mengumumkan bahawa Steve Jobs meninggal dunia semalam," kata pembuat gajet yang berpangkalan di California dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli lembaga pengarah Apple.
Tambah mereka, Apple kehilangan seorang pemimpin yang berwawasan dan genius, manakala dunia pula kehilangan seorang manusia yang menakjubkan.
"Steve meninggalkan sebuah syarikat yang hanya dia boleh membinanya. Semangatnya akan terus wujud sebagai asas kepada Apple," kata pengendali Apple sejak Jobs bercuti sakit sejak Januari lalu, Tim Cook.
Cook dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sejak Ogos lalu. Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh keluarga Jobs, beliau meninggal dunia dalam keadaan aman sambil dikelilingi ahli keluarganya.
Apple memberi penghormatan kepada legenda Lembah Silikon itu dengan memaparkan gambar hitam putihnya yang berjambang dan memakai cermin mata bulat serta baju berkolar di home pagenya bersama tulisan 'Steve Jobs - 1955-2011'.
Apabila pengunjung mengklik pada gambar tersebut, mereka akan dibawa kepada mesej yang ditulis Cook sebagai peringatan kepada Jobs.
Peminat Apple juga dijemput berkongsi memori, ingatan dan salam takziah mereka dengan menghantar pesanan kepada remeberingsteve@apple.com.
Legenda gajet itu dilahirkan pada 24 Februari 1955 di San Franciso oleh seorang ibu tunggal dan diambil sebagai anak angkat oleh satu pasangan di Mountain View ketika baru berusia beberapa hari.
Beliau berusia 21 tahun apabila mencipta Apple Computer bersama Steve Wozniak, 26, di garaj keluarganya pada tahun 1976.
Di bawah Steve, syarikat tersebut memperkenalkan komputer Apple pertama dan kemudiannya Macintosh yang menjadi popular pada tahun 1980-an.
Jobs meninggalkan Apple pada 1985 selepas berlakunya perebutan kuasa. Jobs kemudian memulakan syarikat NeXT Computer yang mengkhusus dalam perisian stesen kerja yang canggih untuk perniagaan.
Sejak itu, kegemilangan Apple pudar. Namun ia kembali pulih pada tahun 1996 apabila Apple membeli NeXT Computer pada harga $429 juta (RM1.2 bilion).
Apple semakin kukuh apabila Jobs merombak strategi Macintosh, merevolusi budaya moden dan melancarkan pasca era komputer peribadi yang memberi laluan kepada alat mudah alih pintar seperti iPod, iPhone dan iPad.
Jobs meninggalkan seorang balu, Laurene dan tiga orang anak. - AFP
Friday, October 7, 2011
Legenda Apple meninggal dunia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.