Wednesday, July 13, 2011

Pelajar saksi warga tua dihenyak polis

Seorang pelajar berkata beliau melihat seorang warga emas terjatuh dan dihenyak oleh polis ketika sepasukan lebih 100 orang anggota berkenaan menyuraikan perhimpunan BERSIH 2.0 berhampiran menara KLCC pada Sabtu lalu.

NONEPelajar berkenaan berkata, warga emas berkenaan mungkin merupakan individu yang meninggal dunia selepas dibawa ke hospital selepas terjatuh semasa perhimpunan itu berlaku.

"Saya rasa itulah pakcik yang meninggal itu. Saya nampak dia jatuh, kemudian saya nampak polis tengah hurung dia, tapi itu saya tak sempat rakam sebab saya tengah lari.

"Saya tak pasti tapi saya rasa dialah. Orang itu memang kena lanyak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Ketika ditanya, pelajar itu berkata beliau tidak melihat sekiranya polis telah menendang lelaki terbabit, "tapi saya rasa polis henyak dia. Tak mahu bagi dia bergerak."

NONEIndividu berkenaan, Allahyarham Baharudin Ahmad (foto kanan) menjadi perhatian apabila ia dikaitkan dengan dakwaan keganasan yang dilakukan polis ketika menyuraikan kumpulan yang berhimpun di sekitar ibu negara pada Sabtu lalu.

Polis setakat ini menyatakan bahawa Allahyarham Baharudin meninggal dunia akibat penyakit jantung, namun sebab sebenar kematian lelaki berkenaan masih menimbulkan tanda tanya.

Dalam kejadian pada petang itu, saksi mata tersebut berkata, beliau melihat kedua-dua tangan warga emas itu dipegang oleh anggota polis yang turut menghenyak lelaki tua berkenaan ke permukaan jalan.

"(Warga tua itu) dah jatuh, kemudian polis hurung dia. Saya nampak macam mereka henyak dia, saya nampak macam guna kaki. Yang saya nampak polis ada lima orang polis yang hurung," katanya lagi.

Pelajar berkenan juga berkata, beliau tidak melihat sama ada mangsa berkenaan berjaya melarikan diri ke bangunan Avenue K yang terletak kira-kira 200 meter daripada persimpangan berkenaan, seperti dilaporkan sebelum ini.

funeral baharudin bersih protesterKetika ditanya, beliau juga tidak dapat mengesahkan sama ada polis telah melepaskan gas pemedih mata sebelum menyerbu ke arah kumpulan yang berhimpun itu.

"Gas (pemedih mata) saya tak perasan sebab saya dah lari," kata pelajar berusia 19 tahun itu lagi yang menambah, kejadian berkenaan berlaku selepas polis berkenaan menggempur sekumpulan lebih 1,000 orang yang menyertai perhimpunan berkenaan.

Kumpulan berkenaan berhimpun di tengah-tengah persimpangan Jalan Ampang – Jalan Yap Kwan Seng – Jalan P Ramlee.

Selain warga emas tersebut, beliau turut melihat beberapa orang lagi turut terjatuh selepas sekumpulan anggota polis berpakaian seragam menyerbu kumpulan yang menyertai perhimpunan tersebut.

Kumpulan polis berpakaian seragam itu mara dari barisan belakang sekumpulan anggota FRU yang membentuk halangan di Jalan P Ramlee, berhampiran persimpangan berkenaan.

Pada masa itu juga, sepasukan polis dan FRU membentuk halangan di hadapan SJKC Lai Meng, di bahagian barat Jalan Ampang.

Difahamkan, polis pada masa itu bertindak untuk menyuraikan kumpulan berkenaan – yang bergerak daripada kawasan Kampung Baru – ke arah timur Jalan Ampang dan juga Jalan Yap Kwan Seng. -MK

18 comments:
Write comments
  1. Bahaya ni, warga tua baik tinggal di rumah sajalah. Biar anak-anak muda yang keluar berjuang. Tidak berguna juga kalau ada penyokong yang terkorban. Berikanlah sokongan dari segi mental kalau bukan sokongan fizikal.

    ReplyDelete
  2. Takziah diucapkan kepada mereka yang terkorban dalam perhimpunan Bersih kali ini.

    ReplyDelete
  3. entah benar ka tidak cerita ni?

    ReplyDelete
  4. macam-macam cerita yang kita dengar selepas perhimpunan bersih ni. tapi kita sendiri boleh lihat apa kesan perhimpunan ini kan.

    ReplyDelete
  5. "tapi saya rasa polis henyak dia. Tak mahu bagi dia bergerak."
    "Saya nampak macam mereka henyak dia, saya nampak macam guna kaki."

    Rasa dan macam? Ingatkan dah pasti sangat. Agak2 lah.

    ReplyDelete
  6. Punca laporan kematian adalah serangan sakit jantung. Tapi masih ada yang tidak menerimanya. Kalau memang ada sakit jantung, ada kemungkinan mendapat serangan ketika perhimpunan itu.

    ReplyDelete
  7. sepatutnya tak payahlah ikut perhimpunan Bersih tu kalau mengalami masalah kesihatan. dah tahu pun ramai orang bersesak2. tapi mungkin inilah semangat yang ditunjukkan oleh warga emas itu. apapun,takziah kepada keluarga mangsa.

    ReplyDelete
  8. selepas lakonan Suhardi gagal, dia guna pula pelajar untuk buat cerita.. takkan 1 orang saja saksi? mana penyokong2 Bersih yang lain? yang menyaksikan kejadian itu.. kalau betul dihenyak, mesti ada bekas di badan.. cuba siasat..

    ReplyDelete
  9. mungkin benar mungkin tidak...tak payahlah percaya khabar angin kalau sekadar nak percaya melalui cakapan orang..biar mata itu sendiri yang menyaksikan baru buat komen.

    ReplyDelete
  10. yang benar di sini ialah rally ini memang membawa banyak keburukan daripada kebaikan.

    ReplyDelete
  11. Takziah kepada keluarga mangsa.

    ReplyDelete
  12. Tidak ada laporan keganasan yang dilakukan peserta Bersih, kenapa polis mengunakan kekerasan untuk menyuraikan mereka?

    ReplyDelete
  13. Takziah kepada keluarga Allahyarham Baharudin. Pengorbanan beliau sentiasa diingati.

    ReplyDelete
  14. Takziahlah kepada keluarga mangsa. Sudah diberi amaran jadi apa masalah tanggung sendiri. Jangan salahkan pihak polis kerana mereka menjalankan kerja mereka.

    ReplyDelete
  15. Penafian boleh dibuat tetapi tangan yang berlumuran darah dari orang yang tidak berdosa tidak akan terlepas dari keadilan. Mungkin bukan dunia ini tetapi dunia sana.

    ReplyDelete
  16. Amat simpati dengan kejadian yang sedih ini. Takziah kepada keluarga Allahyarham Baharudin.

    ReplyDelete
  17. Tiada orang patut bekorban demi menuntut hak-hak yang termaktuk dalam Perlembagaan Malaysia.

    ReplyDelete
  18. Bersih dilabelkan dengan haram dengan berbagai alasan konon akan menjejaskan ketenteraman masyarakat dan lain-lain.
    Cuma kekerasan polis disaksi oleh berbillion-billion mata sedunia tetapi dakwaan pihak berkuasa terhadap Bersih tidak pernah berlaku.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.