Friday, July 8, 2011

Sabah Tolak Pemutihan Pati

SABAH akan melaksanakan hanya lima perkara daripada Program 6P yang akan dilaksanakan di seluruh negara bulan ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman berkata Sabah tidak akan melaksanakan proses Pemutihan yang dilaksanakan sebelum ini tetapi mengundang lebih ramai kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Di Sabah ia dikenali sebagai 5P sahaja. Kita tolak proses Pemutihan yang kita sudah buat sebanyak empat kali pada 1997, 1998, 2008 dan 2009.

"Apa yang kita buat ialah untuk mendaftar dahulu Pati yang ada di Sabah selaras dengan keputusan di pihak persekutuan, iaitu untuk mendapatkan maklumat berapa ramai Pati yang kita ada dan apakah keperluan pekerja asing yang diperlukan oleh sektor-sektor ekonomi di Sabah," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Pengarah Imigresen Negeri, Mohammad Mentek berkata, 5P yang akan dilaksanakan di Sabah ialah Pendaftaran, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran.

Beliau berkata dua minggu diperuntukkan untuk proses pendaftaran secara percuma mulai 18 Julai dan dua bulan diperuntukkan untuk tempoh pengampunan yang mana Pati dikehendaki pulang ke negara asal mereka secara sukarela.

"Jika dua minggu tempoh pendaftaran tidak mencukupi, kita akan lanjutkan dua minggu lagi," katanya.

Mohammad berkata empat kategori Pati yang perlu mendaftar ialah mereka yang masuk secara tidak sah, tinggal lebih tempoh pas lawatan sosial, melanggar syarat-syarat pas kerja dan mereka yang memiliki pasport yang dikeluarkan oleh kedutaan atau konsulat di negara ini.

Beliau berkata sembilan lokasi dikenal pasti untuk proses pendaftaran iaitu di dewan-dewan masyarakat di Kudat, Menggatal, Ranau, Keningau, Sipitang, Tawau dan Lahad Datu serta Balai Seni Inabah di Semporna.

Beliau juga berkata Pati yang telah melalui proses pemutihan di Semenanjung atau di Sarawak tidak dibenarkan masuk ke Sabah.(BERNAMA)

12 comments:
Write comments
  1. lepas ni harap2 warga asing yang datang ke Sabah dengan izin atau tanpa izin dapat dikurangkan.

    ReplyDelete
  2. harap usaha ini akan memberikan hasil yang positif dan dapat menyelesaikan masalah pati..

    ReplyDelete
  3. Saya sokong keputusan kerajaan untuk TIDAK menerima proses pemutihan PATI ini.

    ReplyDelete
  4. Sudah beberapa tahun pemutihan dilakukan tapi tidak juga memberi kesan kepada PATI. Jadi apa yang kerajaan persekutuan cadangkan ini bukan jalan penyelesaian yang terbaik.

    ReplyDelete
  5. pemutihan mmg tak wajar dilasanakan di Sabah. apapun semoga usaha 5P akan berjaya.

    ReplyDelete
  6. Semoga usaha menyelesaikan masalah PATI ini bukan hangat2 tahi ayam.

    ReplyDelete
  7. Baguslah kerajaan Sabah ada pendirian dan caranya yang sendiri.

    ReplyDelete
  8. yang penting laksanakan setiap 'P' itu dengan teliti..

    ReplyDelete
  9. semoga masalah PATI ini dapat diselesaikan dengan berkesan.

    ReplyDelete
  10. Bagaimana pula PATI yang telah berkahwin dan beranak-pinak dengan rakyat tempatan? Adakah mereka juga termasuk dalam 5P?

    ReplyDelete
  11. Sudah cukup jumlah pati dalam negeri ini. Kini tiba masa untuk mengurangkan jumlah besar ini.

    ReplyDelete
  12. Selepas pemutihan, apa lagi? Hantar mereka pulang ke kampung halaman mereka?

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.