Sunday, March 24, 2013

Ceroboh Sabah: 4 lagi mayat rakyat asing ditemui

Empat mayat dipercayai rakyat asing ditemui di dalam sebuah rumah di Kampung Tanjung Batu selepas pasukan keselamatan bertempur dengan pengganas militan semasa operasi penggeledahan di kampung itu, hari ini.

Pertempuran pada pukul 9.15 pagi itu turut menyebabkan seorang anggota tentera cedera di paha kanan akibat terkena tembakan musuh, kata Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Beliau berkata, insiden itu berlaku selepas pasukan keselamatan menjejaki dua musuh yang memasuki sebuah rumah berhampiran dan berlaku tembak menembak sehingga mencederakan anggota itu.

"Berlaku beberapa minit pertempuran di situ, dan semasa pertempuran pasukan keselamatan mendapati seorang musuh telah lari dari rumah itu menghala ke sebuah rumah di sebelah sebelum bertindak membakar rumah berkenaan.

"Pasukan keselamatan kemudiannya melepaskan tembakan bagi membersihkan rumah yang mula-mula dimasuki dua pengganas itu sebelum memasukinya dan menjumpai empat orang mati ditembak," katanya pada sidang akhbar bersama Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16 di sini hari ini.

Zulkifeli berkata, mayat itu terdiri daripada seorang lelaki dan wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan. Tiada pengenalan diri ditemui.

Beliau berkata, hasil penggeledahan, pasukan keselamatan menemui seorang lagi kanak-kanak lelaki yang cedera, juga tiada pengenalan diri dan dia diterbangkan ke Hospital Sandakan untuk rawatan.

Pasukan keselamatan turut menemui sejumlah bekalan makanan yang dipercayai dikumpul di rumah berkenaan, katanya.

Zulkifeli berkata, kesemua mayat itu dibawa keluar dari lokasi pertempuran, menjadikan jumlah keseluruhan mayat yang dikeluarkan sehingga kini 42.

Beliau berkata, militan pengganas yang semakin terdesak kini bergerak dalam kumpulan kecil dan mengaplikasikan 'Small Unit Tactic', iaitu cuba mendatangkan seberapa banyak mungkin kecederaan kepada pasukan keselamatan yang menjejaki pergerakan mereka.

"Daripada pertempuran yang dialami, kami dapati modus operandi musuh ialah apabila bertempur mereka akan membawa pasukan keselamatan ke satu kawasan di mana penembak tepat mereka dapat melepaskan tembakan.

"Selepas bertempur di situ, mereka kemudiannya berundur dan memasuki kawasan rumah yang telah dikenal pasti untuk bertahan dan bertempur semula sebelum bertindak membakar rumah itu dan rumah berdekatan sekiranya tidak lagi mampu bertahan," katanya.

Beliau berkata, taktik melengahkan pergerakan anggota keselamatan itu diteruskan dengan militan berundur ke kawasan paya berdekatan yang telah dikenal pasti sebelum menggempur pasukan keselamatan yang menghampirinya.

Zulkifeli yang yakin semua penembak tepat musuh berjaya ditembak mati dalam pertempuran sebelum 20 Mac, berkata taktik yang diguna musuh sekarang ini memerlukan pasukan keselamatan lebih berhati-hati.

"Sejak pertempuran pada 20 Mac pasukan keselamatan tidak lagi mendapat tentangan daripada penembak tepat musuh dan kami yakin kumpulan 'sniper' pengganas telah dapat ditewaskan kerana kebelakangan ini tidak ada lagi ancaman daripada kumpulan penembak tepat itu," katanya. — Bernama

17 comments:
Write comments
  1. SANJUNG TINGGI PENGORBANAN PASUKAN KESELAMATAN KITA. HAPUSKAN SEMUA SAKI BAKI BIAWAK-BIAWAK KIRAM YANG MASIH BERKELIARAN DALAM KAWASAN ZON MERAH..

    ReplyDelete
  2. Tahniah pd pasukan keselamatan, selamat berjuang & 'clearkan' saki baki penceroboh...

    ReplyDelete
  3. Sekalung penghargaan kepada pasukan keselamatan negara.Anda memang wira sejati membebaskan Sabah daripada pengganas sulu.Kami iringi perjuangan anda dengan doa agar misi dan operasi selesai dalam masa terdekat.Kepada yang tercedera semoga cepat sembuh.Sniper dah mati semua kot, kalau ada pun dia dah tak larat nak tembak sebab dah lapar tangan menggigil jadi tembak pun asyik tersasar, hehehehe.....

    ReplyDelete
  4. Najib dah umum akan lantik Musa aman sebagai Pengerusi JK Keselamatan bg kes LDatu dgn dibantu oleh seorg Ketua Peg Eksekutif dan JK tu aku percaya ialah ESSCOM tu le kot. Kalau betul JK tu ialah East Sabah Security Command ( ESSCOM),kenapa perlu KM Sabah jd Chairman? Benda tu brsabit dgn Keselamatan Negara perihal pncerobohan asing. Even Majlis Keselamatan Negara ( MKN ) pun rasanya sipi2 jer sebab fungsi majlis tu lebh kpd keselamatan pejabat kerajaan atau bencana alam. Ianya mesti dibawah pihak tentera di bawah 1 Divisyen yg mngandungi 5 Bde di Kem Lok Kawi dan 3 Bde di Kuching. Kalau dulu di Sarawak, ada Rejang Security Bommand ( RASCOM ) di bawah seorg Panglima TDM dan yg terakhir ialah Lt Jen (B) Datuk Awie Suboh sebelum merangkap Panglima 1 Div. Kalau zaman dulu2an Lt Jen ( B ) Datuk Daud Bakar,ianya jelas sbg pasukan keselamatan di kawasan Sg Rejang. Kini di LDatu, jika ia tak berada di bawah seliaan Markas ATB 2 di Sabah ia sepatut di selia oleh seorg panglima tentera. Apa guna Mks ATB 2 di Sabah ni jika hanya terima gaji bulanan dan makan tidor?? Makin banyak pihak berkuasa le mnyebabkn bolosnya penceroboh luar yg mncabar kedaulatan kita. Mcm APMM yg bertindih kuasa dgn TLDM atau Polis marin. Pangkat dlm kesemua cabang perkhidmatan tu semua brliau di atas bahu..fungsi? Yiillekk!! Memang le Musa Aman tu KM Sabah dan berhak dilantik kejawatan spt yg diumumkn oleh PM pd Perbarisan hari Polis yg ke 206 di PULAPOL semalam. Masalahnya..tepatkah tindakan tu. Dgn bertebarannya bangsa Sulu' di Sabah samada yg dah ada ic dan bekerja sbg kktgn kerajaan baik tentera atau polis, mngkin tiada BIASE dlm JK tu nanti andainya Chairman asalnya 1Kaum.??

    ReplyDelete
  5. Bagus hapuskan la semua!

    ReplyDelete
  6. Ada lagi yang terbaru.

    ReplyDelete
  7. Jika mereka enggan serah diri, ambil tindakan yang bijak dan berkesan.

    ReplyDelete
  8. Saki baki harus terus diburu.

    ReplyDelete
  9. Pasukan tentera dan polis perlu buat kawalan berterusan.

    ReplyDelete
  10. Kami harus hargai usaha pasukan keselamatan yang berusaha menyelesaikan isu penceroboh dan menjamin keselamatan rakyat dalam tahap yang terbaik.

    ReplyDelete
  11. Serah diri, jangan buat serangan yang cuma mengakibatkan kematian yang berterusan.

    ReplyDelete
  12. kini makin ramai penganas terbunuh, pengganas kini tiada pilihan selain menyerah. sebaiknya mereka menyerah

    ReplyDelete
  13. Pembunuhan harus berhenti.

    ReplyDelete
  14. Buruan harus diteruskan agar tiada penceroboh yang masih bebas dari tindakan.

    ReplyDelete
  15. Usaha menangkap kesemua penceroboh ini amat dihargai. Kerjasama semua pihak harus diberi jika adanya maklumat tentang penceroboh ini.

    ReplyDelete
  16. Saki baki ini harus menyerah diri, tidak perlu membuat serangan yang cuma mengakibatkan kematian sahaja.

    ReplyDelete
  17. Siasatan perlu dijalankan agar punca dan sebab kemasukan ini dikesan dan dalang inijug adapat dikenakan hukuman.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.