Friday, July 15, 2011

Dr Asri Libas Hujjah Ulamak Muda UMNO

Dalam pandangan dilihat menyentuh kesan perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Putrajaya telah mempergunakan pemimpin agama untuk mempertahankan kuasa sebagaimana disaksikan di rantau Timur Tengah.

Bekas mufti Perlis (gambar) berkata pemerintah di Timur Tengah yang sebahagian besarnya adalah “korupsi dan zalim” mempergunakan pemimpin agama untuk membela mereka.

“Mereka (pemimpin agama) memahami nas-nas al-Quran dan Hadis secara literal dan menganggap urusan muamalat dan siasah sama seperti ibadat khusus yang tidak boleh dilakukan pembaharuan dan tokok tambah,” kata tokoh agama yang memperlihatkan pendirian progresif.

Tenaga akademik dari Universiti Sains Malaysia ini memberitahu, keadaan itu wujud apabila kelompok terbabit mentafsir hadis-hadis politik secara literal, yang seakan-akan Islam memberikan ‘lesen’ besar kepada pemerintah untuk melanyak rakyat dan rakyat pula diikat kaki, tangan dan mulut dengan nas-nas agama dari bertindak atau membantah.

“Lebih hodoh lagi, hanya nas-nas yang ‘kelihatan’ propemerintah sahaja yang dibaca, diforumkan, diwar-war dalam pelbagai saluran sedangkan nas-nas yang memberikan amaran terhadap kezaliman pemerintah tidak pula dicanangkan,” kata beliau.

Di Malaysia kata Asri, “kita dapat melihat fonomena ini semasa isu demonstrasi panas baru-baru ini dalam masyarakat.”

“Di sini bukan bertujuan menyokong atau menentang demonstrasi aman, tetapi sekadar ingin membincangkan kefahaman sesetengah pihak mengenai hadis-hadis berkaitan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Sabtu lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 anjuran Bersih 2.0 untuk menuntut transformasi pilihan raya yang perlu dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan dan disokong Pakatan Rakyat mengemukakan lapan tuntutan yang perlu dilaksanakan iaitu membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat ditahan.

Jelas Asri, tindakan berbentuk keganasan tidak boleh dilakukan terhadap rakyat sekiranya tiada pententangan dilakukan termasuk perkara yang boleh menyebabkan kerosakan yang lebih besar.

“Hadis tentang taat dan patut sekali pun dirampas harta dan dipukul itu, ia merujuk kepada keadaan di mana jika penentangan dilakukan akan menyebabkan kerosakan yang lebih besar seperti pemerintah akan membunuh atau memusnah orang lain yang tidak bersalah sedang kita tidak mampu memberikan sebarang kesan kepada mereka.

“Ini terutama di zaman dahulu yang terkenal dengan penumpahan darah. Begitu juga di bawah rejim-rejim yang zalim yang hanya merugikan para penentang dan negara secara umumnya,” katanya.

Jelas beliau, keadaan kini sudah berubah yang mana setiap negara terikat dengan peraturan antarabangsa terutamanya mengenai hak asasi manusia.

Namun, katanya, apabila dunia berubah negara-negara terikat dengan peraturan antarabangsa mengenai hak asasi rakyat.

“Juga, apabila negara-negara itu meletakkan dalam perlembagaan mereka tentang hak-hak rakyat, dalam ertikata lain membantah pemerintah dalam negara demokrasi aman itu adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap menentang negara kerana diiktiraf dan dijamin oleh perlembagaan negara dan persetujuan antarabangsa,” katanya.

“Maka, konteks Hadis sudah berbeza,” kata Asri sambil menambah, “Islam bukanlah agama yang memberikan lesen kepada pemerintah untuk berbuat apa sahaja dan rakyat wajib mendiamkan diri.”

Oleh itu tegas beliau, jangan bawa tafsiran zaman Abbasiyyah ke zaman yang sudah berubah.

Dengan mengambil contoh daripada Hadis, Asri berkata “Rasulullah sendiri sebagai pemerintah membenarkan diri Baginda dibalas.”

Tegas beliau, pemerintah tidak dibenarkan sama sekali untuk bertindak sewenang-wenangnya apatah bertindak ganas terhadap rakyat.

“Jika pemerintah itu diberikan wewenang untuk memukul dan mengambil tanpa dipersoalkan, apakah ertinya sesuatu pemerintahan itu?

“Apakah mereka seperti penzalim dan perompak berlesen yang dilindungi oleh nas-nas agama? Maha Suci Allah dari menurunkan agama yang seperti itu,” katanya. -TMI

18 comments:
Write comments
  1. Janganlah campur agama dengan politik. Tiada kesudahan yang baik kalau macam tu.

    ReplyDelete
  2. Inilah keburukannya bila agama pun dipolitikkan untuk kepentingan pihak tertentu.

    ReplyDelete
  3. sekarang ni macam-macam yang berlaku dan masing-masing ada hujah mereka. yang menjadi keliru adalah rakyat....

    ReplyDelete
  4. Zaman dulu dan sekarang sudah berubah. Apa yang diguna pakai pada masa lalu belum tentu sesuai untuk digunakan pada masa kini. Tetapi masih boleh dijadikan rujukan dan ukuran. Ambil iktibar daripada apa yang sudah berlaku di negara2 bergolak. Jangan sampai M'sia pun mengalami nasib yang sama.

    ReplyDelete
  5. setiap ulama perlu main peranan dalam membentuk pemerintahan yang baik.

    ReplyDelete
  6. jangan mempergunakan pemimpin2 agama dan nas2 al-Quran dan Hadis untuk kepentingan politik.

    ReplyDelete
  7. lagi la zalim pihak yang menghasut rakyat untuk menjadi perisai mereka dan menggunakan wang ringgit untuk mempengaruhi rakyat supaya bertempur dengan pihak berkuasa. hanya disebabkan keinginan membuak2 mendapatkan jawatan kabinet, bukan setakat rakyat, malah negara juga dijadikan mangsa..

    ReplyDelete
  8. Betul itu Neji...Fitnah dilakukan orang satu pihak untuk menentang kerajaan. Bukankah itu lebih dari zalim..Menghasut yang mengatakan kerajaan tidak amanah, rasuah dan sebagainya. Jadi inikah yang dikatakan orang yang baik untuk kita?

    ReplyDelete
  9. Neji dan Alimah orang yang bodoh dan buta.Sesunggunya kerajaan kita BN banyak rasuah dan berat sebelah dan zalim tetapi berselindung disebalik undang2 dan agama yg memihaknya sahaja tetapi amaran agama mereka ketepikan, hari ini rayat dah berpelajaran atau berilmu maka mereka tahu menilai tampa diupah malah mengeluarkan duit sendiri dan sanggup berhadapan kezaliman demi kebenaran.Kalau aktiviti UMNO/BN kalau tiada gula2 dan paksa kaki tangan kerajaan datang tentulah lalat sehaja yang datng.

    ReplyDelete
  10. Isi artikal diatas sangat bermakna dan patut diteliti pemimpin negara.

    ReplyDelete
  11. Kata Dr Asri bernas, mudah difaham. Sebenarnya ramai orang faham akan apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat. Cuma tidak melakukan apa yang sepatutnya. Mereka lebih mematuhi kepada nafsu peribadi dari mematuhi kepada kebenaran. Dan mematuhi kebenaranlah yang mulia dimata Tuhan.

    ReplyDelete
  12. Jika Dr.Asri dilantik sebagai penasihat pihak berkuasa untuk menangani isu Bersih, pekara ini pasti didselesaikan dengan sempurna.

    ReplyDelete
  13. Nasihat atau pandangan dari cendikia jangan diabaikan. Kezaliman tidak mungkin berlanjutan kerana bertentangan dengan ajaran Tuhan.

    ReplyDelete
  14. Rakyat sendiri atau sesiapa tidak boleh dizalim dengan kuasa kurniaan dari Tuhan.
    Perlindungan kepada rakyat dari segala pengarniaan adalah wajib.

    ReplyDelete
  15. Pemimpin diamanahkan kuasa. Kuasa digunakan melindungi rakyat. Kuasa disalahgunakan, Amanah itu akan ditarik.

    ReplyDelete
  16. jika sesebuah negara itu ditadbirkan oleh kerajaan yang zalim, nescaya, kuasa rakyat jugalah yang akan menumbangkannya.

    ReplyDelete
  17. Religion and politics shouldn't be mixed!

    ReplyDelete
  18. Anonymous
    July 16, 2011 1:00 PM

    kawan saya sendiri cakap dia dibayar untuk menyertai perhimpunan. kalau Pakatan dan saudara ini bijak, kenapa tidak bawa tuntutan2 Bersih ini ke Parlimen?.. kalau penganjur Bersih, Pakatan dan saudara bijak, kenapa pilih stadium yang hanya mampu memuatkan 25000 orang malah struktur bangunan tidak kukuh dan kerja2 penyelenggaraan masih berjalan?? bukankah itu boleh membahayakan peserta yang kononnya berjumlah ratusan ribu??

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.