Tuesday, October 4, 2011

Mampukah MCA Pulihkan Imejnya?

Mungkin ia Perhimpunan Agung Tahunan MCA yang terakhir, mungkin tidak... sebelum PRU ke-13 diadakan. Demikianlah kenyataan Pengerusi Barisan Nasional Najib Razak ketika merasmikan perhimpunan MCA yang masih enggan memberi isyarat "tarikh PRU ke-13".

Bagaimanapun, Presiden MCA Chua Soi Lek sudah tidak sabar untuk memberi jaminan bahawa MCA telah bersedia untuk bertempur dalam PRU akan datang.

Berbeza dengan perhimpunan agung yang lalu, MCA kali ini jelas menyasarkan "musuh politik" di luar, dan mengelakkan diri daripada menyiku rakan parti dalam Barisan Nasional. Beberapa perhimpunan agung sebelum PRU ke-12, malah selepas itu, menyaksikan bagaimana perwakilan MCA menuding jari terhadap rakan partinya, khususnya UMNO ketika berucap dalam sesi perbahasan.

Kalau sebelum ini MCA terpaksa memberi reaksi terhadap "tindakan Ketua Pemuda UMNO menghunus keris", kali ini mereka tidak perlu berbuat demikian. Sungguhpun penyelewengan dan ketidakadilan masih berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, namun perwakilan MCA cuba mengelakkan diri daripada menyentuhnya; sebaliknya menyasarkan musuh politik tradisionalnya, iaitu DAP.

Chua Soi Lek cuba memberi isyarat tanpa menyebut nama, meluahkan ketidakpuasan terhadap sesetengah pemimpin yang "mendabik dada sebagai abang besar, yang sebenarnya 'pembuli'." Namun apabila diminta untuk memperjelaskan siapakah yang dirujuk olehnya dalam sidang media, Chua Soi Lek sekadar menjawab "siapa makan cili dia rasa pedas".

Isu Hukum Hudud melegakan MCA

Kemunculan semula pertikaian "Hukum Hudud" sejak kebelakangan ini memberi kesempatan MCA untuk menarik nafas buat seketika. Tema perhimpunan agung kali ini jelas, menyerang PAS kerana mahu menubuhkan negara Islam teokrasi di Malaysia, disifatkannya sebagai satu langkah ke belakang. DAP dituduh sebagai boneka yang bersekongkol dengan PAS dan PKR, mengkhianati kepentingan masyarakat Cina; malah meniru lojik hujah musuhnya sebelum ini: hukum PAS dengan tidak mengundi DAP.

Misalnya, Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu (gambar kanan) membidas DAP kerana berkempen untuk calon PAS meskipun sedar bahawa matlamat perjuangan PAS adalah untuk menubuhkan Negara Islam. Malah Gan Ping Sieu meluahkan kebimbangan seandainya PAS melontarkan usul ini dan memaksa wakil rakyat muslim dari UMNO untuk menyatakan pendirian dalam parlimen. Singkatnya, Gan membidas bahawa DAP telah mengelirukan masyarakat Cina untuk menjurus kepada perkembangan PAS.

Bandingkan Hukum Hudud dengan 1Malaysia

Tidak cukup dengan itu, Timbalan Presiden MCA Liow Tiong Lai yang berucap dalam sesi penggulungan, mengajak perwakilan untuk membandingkan antara "Negara Islam" oleh PAS-Pakatan Rakyat, dengan program transformasi di bawah gagasan 1Malaysia oleh Najib Razak. Sebelum ini, pujian demi pujian telah dikalungkan kepada Najib Razak, sebagai penghargaan kerana berani mengambil langkah untuk melaksanakan beberapa perubahan, misalnya pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tidak kurang juga serangan dilancarkan ke atas kerajaan negeri Pakatan Rakyat, menyanggah kritikan DAP sebelum ini. Misalnya, sejak dahulu MCA berdepan dengan tekanan apabila peruntukan kerajaan untuk pendidikan aliran sekolah Cina jenis kebangsaan tidak mencerminkan nisbah pelajar yang sepatutnya. DAP sering menuntut agar peruntukan kepada aliran sekolah Cina "diinstitusikan", dan bukannya dijadikan "gula" menjelang pilihan raya. Bagaimanapun, MCA kali ini menyanggah tuduhan DAP-Pakatan Rakyat, mendakwa bahawa buku Jingga juga tidak menjanjikan peruntukan yang "diinstitusikan".

Malah, kerajaan negeri Selangor dikatakan tidak memperuntukkan tanah untuk pembinaan sekolah aliran Cina sejak 8 Mac 2008, namun keadaan sebaliknya berlaku di Johor yang berada di bawah Barisan Nasional, dengan lima bidang tanah diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk pembinaan sekolah Cina. Chua mengambil contoh ini untuk membuktikan bahawa DAP sekadar bercakap besar dan tidak mengotai janji.

Menaikkan semangat

Chua Soi Lek mengulangi tekad bahawa MCA tidak akan mengambil sebarang perlantikan dalam kerajaan seandainya prestasi MCA tidak memperlihatkan peningkatan berbanding PRU ke-12. Beliau mendakwa tindakan tersebut adalah untuk "menghormati suara pengundi", dan bukannya ugutan kepada rakyat.

"Jika seandainya wujud 'ugutan' sekalipun, ia harus dilihat kepada parti dan anggota-anggota parti bukannya para pengundi," kata Chua Soi Lek dalam ucapan dasarnya pagi ini. Kata-kata ini disambut dengan tepukan gemuruh di depan PM Najib Razak, mungkin memberi persepsi kepada Najib, yang kemudiannya berkata dirinya telah merasai semangat MCA untuk bertempur dalam PRU akan datang.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

12 comments:
Write comments
  1. Biar rakyat cina yang menentukan sama ada mereka masih sokong ataupun tidak.

    ReplyDelete
  2. Kita tunggulah dan lihat.

    ReplyDelete
  3. MCA harus berusaha untuk mendapat lebih ramai sokongan daripada masyarakat cina.

    ReplyDelete
  4. Chua Soi Lek jugalah. Walaupun dibadai dengan cerita negetif buat seketika dahulu, namun beliau masih bergiat aktif dalam politik.

    ReplyDelete
  5. Mampukah mereka? Terpulang bagaimana cara mereka mengambil hati semula para pengundi terutamanya daripada golongan cina.

    ReplyDelete
  6. PAS saja yang beriya-iya sangat mahu laksanakan hukum hudud.

    ReplyDelete
  7. MCA perlu berusaha lebih jika mahukan sokongan daripada rakyat.

    ReplyDelete
  8. apa pun, semuanya terserah kepada rakyat untuk menilai dan membuat pilihan mereka.

    ReplyDelete
  9. kenapa tidak tanya mampukah DAP berkongsi pendirian dengan rakan2 Pakatan yang lain??

    ReplyDelete
  10. offer utk menjadi porn star, siapa2 berminat???

    ReplyDelete
  11. Mesti boleh punya..MCA pasti boleh melakukannya.

    ReplyDelete
  12. MCA tidak bersendirian berjuang tapi pasti akan ditemani oleh parti komponen BN yang lain. Jadi MCA perlulah merancang yang terbaik untuk parti BN. Kerana kerjasama itulah kekuatan sebenar.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.