Tuesday, October 4, 2011

Zaid Terus Hanyut Dalam Keegoaannya?

Saya ingin bercakap sedikit perihal orang bernama Zaid Ibrahim. Zaid Ibrahim ini semacam ada persamaan dengan Inchek Ibrahim Ali. Apakah mereka ini kembar tidak seiras atau kembar siam yang berkongsi perangai politik?

Kedua mereka asal dari negeri saya, Kelantan. Keduanya kebetulan pernah saya kenal dan pernah mendampingi mereka. Kecuali Zaid, Inchek Ibrahim pernah masuk ke dalam rumah saya dan duduk bersela dan sempat merasi tea "O" kurang manis di rumah saya.

Zaid hanya sampai diluar saja, ketika dia menjemput dan menghantar saya selepas pergi.. nun jauh berceramah di utara dan juga selatan sewaktu proses beliau hendak menyertai PKR.

Begitu juga dengan Inchek Ibrahim, selalu mengambil dan menghantar saya untuk pergi berceramah di serata tempat di negara ini sebelum beliau menjadi ahli Parlimen Pasir Mas menerusi tikit Pas. Dari Perlis sampai ke Sabah dan Sarawak. Jadi kedua mereka saya cukup kenal dan arif. Cukup tahu makanan dan minuman apa yang menjadi kesukaan mereka!

Kebetulan juga saya ikut sama membantu atau lebih tepat memantau pilihan raya yang mereka sertai. Inchek Ibrahim semasa pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, Pasir Mas dan juga pilihan raya umum ke-12 lalu. Zaid pula semasa pilihan raya kecil di Hulu Selangor. Saya memantau atau memberi semangat kepada mereka berdua kerana saya lihat mereka ada minat untuk berubah, membaiki moral politik mereka dan juga belajar menjadi politician yang mampan, bersih dan dihormati orang.

Kedua mereka dalam kaca mata saya ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri. Zaid seorang yang tegas dan berani. Demikian juga Inchek Ibrahim berani tetapi kurang tegas. Dari segi hati Inchek Ibrahim lembut dan keras, Zaid lebih keras dari Inchek Ibrahim Ali yang sangat lembut hatinya. Ibrahim hanya keras di mulut saja, tetapi hati baik. Dia pernah menangis di depan saya. Zaid keras dimulut dan egonya terlalu tinggi seorang yang tidak mudah untuk mendengar kata.

Dua tiga hari lepas saya berjumpa dengan tiga orang kanan Zaid Ibrahim yang memanggil saya khusus untuk bercerita tentang apa yang berlaku dalam parti Kesejahteraan Insan Malaysia (Kita) yang kini semuanya menjadi parti dia. Kalau salah sebut parti Kita harap maaflah sebab saya kurang hafal kerana kurang mencatat mengenai aktiviti parti berkenaan.

Sudah lama saya tidak ketemu mereka ini, khasnya salah seorang dari mereka menjadi yang pegawal peribadi kepada Zaid semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor. Dalam pertemuan itu mereka menceritakan perihal Zaid dan situasi parti Kita muasir ini yang sudah bercelaru celara. Mereka bertiga telah keluar atau dipecat dari parti Kita.

Banyaklah cerita dan ceriti pada pertemuan itu. Daripada kisah bagaimana ego dan sombongnya seorang Zaid kepada perihal pengubahsuaian minit mesyuarat. Cerita Zaid seorang yang sombong dan bongkak. Katanya Zaid suka memperkuda dan melembukan orang lain untuk kepentingannya.

"Saya tidak sangka dengan Zaid, dia bilang mahu mewujudkan demokrasi tulen dalam negara ini tetapi cara dia uruskan parti lebih kurang diktator saja," begitu tutur salah seorang dari mereka.

"You tahu semua keputusan parti dia yang buat. Apa yang kita bincangkan tidak dipakai, dia buat ikut sedap dia sahaja, ini minit mesyuarat pun dipinda dan buat sendiri," tambah yang lain.

"Dia fikir bila dia kaya raya dia boleh perintah semua orang, semua orang hendak dijadikan hamba abadinya... mana boleh...," sambung yang lain. Ketiga-tiga mereka tidak puas hati dengan Zaid dan sedang memikirkan untuk mengambil tindakan ke atas Kita menerusi Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kerana tindakan memecat mereka dibuat tanpa mengikut undang-undang.

Saya hanya mendengar dan menahan telinga saja. Sebenarnya apa yang dituturkan mereka mengenai Zaid itu saya sudah sedia maklum. Saya sudah melihat dan mengalami sendiri bagaimana cara Zaid berpolitik. Sikap diktator atau ego Zaid itu bukan hari ini sebenarnya tetapi sejak dia dalam Umno lagi. Punca kenapa beliau digantung atau dipecat dari Umno ialah kerana keegoannya, merasakan dirinya saja yang betul orang lain salah. Zaid beranggapan kekayaan dan profesionalisme dia sebagai lawyer boleh menudukkan semua orang.

Ternyata andaian itu meleset. Bukan semua orang akan 'bersujud sawi' kepada kuasa wang, dan bukan semua orang miskin menghormati orang kaya! Kekayaan seseorang itu tidak semestinya menjadi faktor orang hormat. Orang hormat kepada seseorang kerana ketinggian budi pekerti, tutur bicara dan juga tinggi diplomasinya.

Keegoan terbaru Zaid boleh dilihat kepada bagaimana dia melayan bekas pemimpin Kita yang juga merupakan pelupor dan rakannya sendiri. Misalnya bila dia tidak suka kepada Muhammad Firdaus Chirsthoper digantungnya Firdaus sebagai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JEP).

Lebi teruk lagi apa yang berlaku ke atas Latif A Tambil yang memegang jawatan setaiusaha dipecat hanya menerusi SMS saja. Alasannya mudah kerana Latif tidak memberi passwork blog Kita.

Tidak cukup itu dia merendah-rendahkan Firdaus dalam sidang akhbar dengan mengatakan Firdaus adalah perkerjanya.

Ternyata Zaid yang profesional sebenarnya tidak bertindak secara profesional. Memang satu segi Firdaus adalah pekerjanya tetapi dari sisi lain - berorganisasi Firdaus adalah ahli jawatan kuasa eksekutif yang dilantik. Mungkin Zaid tidak perlu menghormati Firdaus sebagai pekerja, tetapi dia kena menghormati Firdaus ahli eksekutif parti. Pekerja dan penjawat jawatan berbeza statusnya. Cara Zaid merendahkan Firdaus di sidang akhbar menggembarkan sejauh mana tinggi atau rendahnya diplomasi Zaid sebagai seorang ketua parti.

Meneliti dan mengambil kira apa yang berlaku ke atas bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini, ternyata Zaid sangat naif dalam politik. Beliau harus banyak belajar mengenal politik secara realistik bukan teori kerana politik melibatkan orang ramai dan sangat membutuhkan kefahaman dalam melayan hati budi manusia. Cara Zaid yang menggunakan kuasa wang untuk menawan orang atau kawan tidak akan berhasil dan ia bersifat sementara.

Satu masa manusia memerlukan wang untuk hidup atau sebagai bayaran atas khidmat yang diberikan. Tetapi kalau wang itu dijadikan kuasa dan senjata untuk menindas akhirnya manusia itu akan bangkit dan melawan juga. Manusia rela miskin daripada diperhambakan dengan kuasa wang. Dan ada kalanya orang mengikut kita itu kerana prinsip kita yang kita pegang. Selagi prinsip kita berada atas garis benar orang akan hormati dan sanjung kita.

Namun kalau prinsip itu sudah dilanggar mereka tidak akan bercakap banyak akan meninggalkan kita. Dalam hal ini saya melihat dua faktor kenapa parti Kita atau kepimpinan Zaid menjadi 'kucar bara' ialah kerana Zaid tidak menghormati orang lain dan dia beranggapan wang boleh membeli segala-galanya. Zaid juga tidak mengotakan apa yang dikatakan terutamanya untuk mempraktikan demokrasi tulen.

Dari sehari ke sehari prinsip dan maruah Zaid sudah melebur dan cair seperti ais di tengah sahara. Apa yang dipertahankan dulu diroboh sendiri. Sikap atau pun keadaan ini menunjukkan rupa diri atau dalaman Zaid yang sebenarnya. Tindakan Zaid tidak ubah budak kecil yang berak kemudian meramas tahinya sendiri. Semasa dia keluar dari PKR dulu alasan kerana parti itu ditadbir secara diktator oleh Anwar Ibrahim. Tetapi anihnya hal yang sama berlaku dalam Kita, malahan ia lebih dahsyat dari Anwar.

Hari ini siapa yang lebih diktator, Zaid atau Anwar? Pendirian Zaid juga tidak konsisten macam orang yang mabuk tidak dapat berjalan dengan tegak dan terhuyung hayang. Sekali dia mengkritik Najib Razak, tetapi hari ini dia bersetuju dengan Najib. Sekali dia menyatakan sokongan kepada Nik Aziz, hari ini dia menempelak Mursyidul Am itu yang mahukan hudud dilaksanakan. Tidak salah menyokong yang baik dan menentang yang jahat tetapi ia perlu dilakukan dengan penuh tektikal bukan tergesa-gesa sehingga orang nampak apa yang ada di sebalik batu.

Hanya orang yang mabuk saja bercakap merapu atau pun tidak ketahuan puncanya. Sebaik Najib umumkan pemansuhan akta ISA, belum habis Najib cakap Zaid sudah sahut menyokongnya. Malahan beliau opolegetik kepada Najib. Tindakan ini menampakkan siapa dia Zaid sebanrnya, dia seorang yang sangat naif.

Keadaan Zaid hari ini saya lihat macam kera sumbang saja. Dia jadi macam orang yang hidung tidak mancung tetapi pipi tersorong-sorong. Nasib Zaid juga akan jadi macam Lebai Malang, ke hulu terlepas ke hilir terbabas. Saya meramalkan keadaan parti Kita akan mati sebelum turun bertarung di gelanggang gara-gara sikap dan ulah Zaid yang kejatuhan kompas di hutan rimba.

Demikianlah adanya kalau hidup kita tidak ada pancang yang kukuh dan kemas. Kita akan jadi sehelai daun di tengah sungai akan hanyut mengikut arus air yang akan membawa kita entah ke mana. Tuhan tidak akan memberi tiga buah pengkalan untuk seorang manusia. Biasa manusia diberikan satu saja kemujuran dalam hidup. Tetapi Zaid sudah dianugerahkan dua pengkalan, bernama BN dan PKR.... selepas ini tidak ada pengkalan lagi untuk Zaid dalam politik.

Harapan dan impian dia untuk menceduk teori politik Inceh Ibrahim Ali untuk mendapat laluan dari Pas (Nik Aziz) juga tidak akan kesampaian lagi. Penjualan bangunan Umno Kota Bharu kepada Pas yang masih dipertikaikan itu bukan barang gadaian lagi untuk Zaid mendapat kerjasama Pas.

Saya hanya menunggu masa saja untuk melihat parti Kita yang diklonkan dari parti Keadilan Insan Malaysia (Akim) itu menjadi gemulah.

Oleh Mohd Sayuti Omar

12 comments:
Write comments
  1. Zaid Ibrahim sudah tidak lagi relevan.

    ReplyDelete
  2. Biar rakyat yang menentukan sama ada mereka sokong Zaid.

    ReplyDelete
  3. kita harus ketepikan sikap ego dan menerima pandangan orang lain.

    ReplyDelete
  4. Another anti-Zaid Ibrahim? Ouch!

    ReplyDelete
  5. Egoistic will not bring you nowhere.

    ReplyDelete
  6. hanya orang yang rapat dengan Zaid saja mengetahui keperibadian dan tingkah lakunya. harap Zaid Ibrahim menerima kritikan dan perbaiki kelemahan sebelum terlambat.

    ReplyDelete
  7. nampaknya sudah ada kontroversi berlaku sejak Zaid menjadi presiden KITA.

    ReplyDelete
  8. jika benar seperti dinyatakan, mungkin Zaid sukar untuk mendapat sokongan.

    ReplyDelete
  9. Zaid Ibrahim dihancurkan oleh orang2 yg dipercayai beliau...nampaknya beliau kena perlu berhati2 bila memberikan kepercayaan kepada orang lain...

    ReplyDelete
  10. apa yang saya lihat setakat ini, Zaid dan KITA tidak aktif..

    ReplyDelete
  11. Sebaiknya kita terima pandangan orang, kita tidak nampak kelemahan kita tapi orang lain nampak apa kelemahan yang kita ada.

    ReplyDelete
  12. Ego membawa kita kepada kehancuran. Jadi Zaid fikirkanlah, kita tidak sempurna sepenuhnya.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.