Tuesday, March 20, 2012

Kewangan Punca Ekin, Yazir (AF3) Tangguh Kahwin


Bekas pelajar program Akademi Fantasia musim ke tiga (AF3) iaitu Ekin terpaksa menangguhkan hasratnya untuk berumah tangga dengan penyanyi Yazer kerana faktor kewangan yang masih belum kukuh.

Ekin, 28, berkata, pada dasarnya dia sudah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan namun perlu memahami kedudukan bakal suami yang masih belum stabil.

"Saya dan Yazer bukannya popular sangat dan jarang ada undangan nyanyian. Tambahan pula tanggungjawab untuk berkahwin bukannya senang kerana ia memerlukan komitmen yang besar terutamanya daripada pihak lelaki," ujarnya kepada mStar Online.

Bagaimanapun percintaannya dengan Yazer yang telah melangkau hampir empat tahun itu semakin utuh kerana mereka sama-sama mengharungi susah senang bergelar seorang artis.

Ekin memberitahu, mereka saling bantu membantu dalam kerjaya masing-masing.

"Kepada Yazer saya mengadu dan berkongsi masalah dan begitu juga dia. Kami saling menjaga hubungan antara satu sama lain," ujarnya.

Dalam pada itu, Ekin berhasrat kembali ke negeri kelahirannya iaitu Sabah untuk mengembangkan kerjaya nyanyiannya.

Ekin berkata, keputusan itu dibuat selepas memikirkan kerjaya seninya di Kuala Lumpur tidak berjalan dengan begitu baik dan perlu memikirkan sesuatu untuk masa depannya.

"Nak kata kecewa tidak juga tetapi itu adalah satu usaha yang perlu saya lakukan untuk meneruskan kerjaya nyanyian saya selepas tidak begitu dikenali di kalangan peminat di Kuala Lumpur," ujarnya.

Tambahnya, dia ingin mengikut jejak langkah rakan seperjuangannya iaitu Felix yang popular dan dikenali ramai di Sabah.

Ekin berkata, dia juga ada berbincang dengan penyanyi itu untuk menghasilkan sebuah lagu duet sebagai pengenalannya di sana nanti.

"Saya menjadikan Felix sebagai pemangkin semangat saya kini kerana kerjaya nyanyiannya stabil dan popular di Sabah dan saya telah pun berbincang dengannya untuk menghasilkan sebuah lagu duet," katanya.

Ekin memberitahu dia berhasrat untuk menghasilkan sebuah album dalam bahasa Melayu-Brunie jika singlenya dengan Felix mendapat perhatian.

Bagaimanapun dia masih berharap agar ada pihak yang berminat untuk menerbitkan single itu di Kuala Lumpur.

"Lebih enam tahun saya cuba bertahan, rasanya rugi pulak jika melepaskan impian saya begitu sahaja dan kembali ke Sabah.

"Jadi saya berharap akan menghasilkan single baru untuk pasaran seluruh Malaysia selain mengembangkan kerjaya di sana," katanya.

Sementara itu, Ekin memberitahu walaupun tidak mempunyai album baru dan semakin dilupakan, dia masih mendapat undangan nyanyian untuk majlis-majlis korporat dan tertutup.

Ekin memberitahu kehadirannya mungkin kurang disedari mungkin kerana jarang mendapat liputan daripada media massa.

"Alhamdulilah walaupun tidak sepopular masa mula-mula keluar daripada AF dulu, rezeki nyanyian masih ada dan boleh menampung hidup di Kuala Lumpur," ujarnya.

-Mstar

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.