Tuesday, June 14, 2011

UMNO-Utusan bodohkan diri sendiri

http://asiancorrespondent.com/jeffooi-images/2008Q1/Poll_Utusan_080208.jpgPerwakilan PAS akhirnya memberi pengajaran, kalaupun bukan penghinaan, kepada Umno dan lidahnya Utusan Malaysia.

Selama ini, Umno menampilkan diri sebagai parti pemerintah yang sanggup mempergunakan dubur sama ada lelaki tua mahupun budak jambu untuk menjahanamkan musuh politiknya. Mustahil parti sedemikian akan berlembut, apatah lagi memuji atau memuja seseorang pemimpin dari kem musuhnya.

Justeru, apabila pujian datang melimpah dan dikalungkan pada pemimpin tertentu dalam pembangkang - adalah wajar untuk kita meragui ada "udang di sebalik mee", memetik pepatah Timbalan Presiden PAS baru, Mohamad Sabu.

Umno dan Utusan Malaysia terus "syiok sendiri", lebih ghairah kempennya berbanding Harakah sepanjang pemilihan PAS. Isu yang sama dipanaskan berkali-kali, dari basi hingga hangus - Kerajaan Perpaduan, PAS diperkuda DAP, KeADILan meresap ke dalam PAS dan sebagainya.

ssemua retorik dan propaganda yang tersirat dalam tulisan ini berakhir dalam bakul sampah, setelah perwakilan membuat keputusan untuk memilih pemimpin yang jelas menjadi sasaran serangan Umno.

Ia sekurang-kurangnya menunjukkan kematangan perwakilan untuk tidak terpengaruh dengan propaganda murahan sedemikian. Barangkali itu mesej perwakilan PAS yang lantang berbunyi: "Cukuplah, jangan Utusan-Umno memperbodohkan kami!"

Saf pimpinan terbaru ini memaparkan wajah-wajah yang cukup merunsingkan Umno. Dengan Timbalan Presiden yang bakal menghidupkan kembali semangat perjuangan rakyat di jalan raya, ditambah pula dengan pemimpin yang sering menghangatkan perbahasan dasar dalam Dewan Perundangan - Umno semestinya merasai bahang di bawah kerusinya.

Apa yang lebih menggusarkan, keyakinan dan keberanian perwakilan dari akar umbi ini untuk menuntut perubahan. Perwakilan PAS menunjukkan bahawa mereka cukup celik untuk membezakan antara yang benar dengan yang palsu - meskipun minda mereka ditusuk saban hari oleh propaganda Umno.

Apabila perwakilan PAS sudah kebal daripada propaganda Umno, maka ia bakal menangkis segala serangan daripada Umno dengan yakin. Padahal ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk menyanggah hujah Umno - heret Umno ke gelanggang politik nasional, maka UMNO terpaksa berdepan dengan ludah yang jatuh pada mukanya sendiri.

Misalnya, apabila Presiden PAS mengetengahkan semula konsep "Negara Berkebajikan", ia diserang UMNO bahawa PAS telah menggadaikan perjuangan "Negara Islamnya". Jika diteliti, "Negara Berkebajikan" tidak bercanggah dengan nilai Islam, dan tiada alasan untuk masyarakat bukan Islam menolaknya. Namun, reaksi pemimpin UMNO terhadap ucapan dasar Presiden dalam Muktamar PAS ke-57 ini bakal menampar muka komponen parti Barisan Nasional, MCA terutamanya. Ini kerana MCA selama ini menakut-nakutkan komuniti Cina dengan retorik bahawa "PAS tidak akan menggugurkan matlamat penubuhan Negara Islam". Ringkasnya, kenyataan UMNO menafikan hujah MCA.

Di sini dilema Barisan Nasional. Kelangsungan BN berasaskan formula pertentangan antara satu sama lain - UMNO, MCA dan MIC mendendangkan lagu yang berbeza untuk komuniti yang berasingan. MCA melihat dirinya kalah jikalau UMNO menang, begitu dengan sebaliknya. Minda sedemikian menyemarakkan politik adu-domba - masing-masing berebut-rebut untuk menjadi wira dalam air yang keruh - sehingga memporak-perandakan keharmonian masyarakat Malaysia yang sedia ada.

Dan PAS hanya mencuba nasib untuk kalah seandainya mengulangi formula sedemikian. Misalnya, jikalau PAS termakan dengan propaganda bahawa kemenangan DAP adalah kekalahan PAS, atau kekuatan PAS semestinya terbina atas DAP/PKR yang lemah.

Ini menjelaskan mengapa UMNO terus mengasak untuk memastikan PAS tersepit di penjuru yang hanya berdepan dengan Melayu-Muslim. Selangkah PAS ke depan untuk melangkaui batas perkauman dan agama bakal dihujani panah yang berbisa. UMNO cukup sedar, selagi PAS kekal sebagai parti Melayu/Islam semata-mata, maka strategi "pecah dan perintah" boleh dilanjutkan hingga hari kiamat.

PAS perlu tabah berdepan dengan cabaran ini. Apapun nama yang disebut, sama ada "Negara Berkebajikan" ataupun "Negara Islam" - yang dipertahankan adalah nilai keadilan. Ketetapan ini semestinya lebih murni daripada penyebaran fitnah, penayangan video lucah secara terbuka, amalan rasuah yang cuba dihalalkan dengan "perpaduan Islam". -

Oleh Lim Hong Siang

16 comments:
Write comments
  1. Umno should put a rein over Utusan for not destroying both their own images.

    ReplyDelete
  2. setiap parti sebaiknya menggunakan strategi yang lebih baik dan adil. bukan dengan cara menjatuhkan pihak lain dengan fitnah.

    ReplyDelete
  3. Gunakan cara yang berhemah jika ingin menambat hati rakyat.

    ReplyDelete
  4. Terlalu banyak propaganda dan provokasi hanya akan melihatkan kelemahan parti.

    ReplyDelete
  5. setiap orang ada pandangan masing-masing. apa pun sebaiknya jika semua parti menumpukan terhadap tanggungjawab mereka kepada rakyat.

    ReplyDelete
  6. fitnah, maksiat dan rasuah tidak pernah berlaku dikalangan pemimpin PAS??

    ReplyDelete
  7. dalam politik mmg akan wujud perbagai propaganda, dan kita kena bijak dalam menilainya.

    ReplyDelete
  8. utusan banyak sebar fitnah..melampau..

    ReplyDelete
  9. rakyat harus bijak menilai..

    ReplyDelete
  10. Pembohongan tetap pembohongan. Kebenaran tetap kebenaran.
    Yang suka tipu pasti dimakan tipu sendiri.

    ReplyDelete
  11. Barisan kepimpinan PAS disanjung banyak pihak. Sejauh mana perubahan PAS selepas pilihan ini?
    Semakin mantap atau sebaliknya?

    ReplyDelete
  12. Inilah arena politik. Siapa yang tidak tahan, kenalah mengaku kalah atau tersingkir dari arena ini.

    ReplyDelete
  13. Barisan ini kena melalui ujian dari rakyat samada diterima atau tidak.

    ReplyDelete
  14. Utusan sudah jadi media yang sukar dipercayai umum. Circulation yang makin merosot menunjukan keadaan sebanar.

    ReplyDelete
  15. Jangan lagi membazirkan tenaga atau sumber yang ada untuk memfitnah.
    Tumpukan usaha untuk membaiki keadaan rakyat yang semakin terhimpit oleh tekanan hidup.
    Rakyat akan menyokong sesiapa saja yang jujur dan iklas berjuang demi rakyat.

    ReplyDelete
  16. Fitnah atau bukan yang penting setiap pemimpin perlulah berusaha untuk menambat hati rakyat. Buktikan bahawa BN boleh.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.