Monday, March 12, 2012

Peta minda mantapkan ingatan

PETA minda merupakan kaedah yang berkesan untuk mendapatkan semula maklumat daripada ingatan untuk ditukarkan menjadi bentuk yang boleh dilihat.

Ia boleh membantu untuk meningkatkan kecerdasan dan kemahiran untuk mengukuhkan daya ingatan serta pemahaman.

Peta minda merangsang pelbagai keupayaan yang ada dalam diri. Misalnya, anda perlu memikirkan mengenai maklumat yang diperlukan dan membuat pemilihan mengikut keinginan diri.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjoYaZcuxW5iedX9hW8Y9j5EE-2UDNn0Em30sT8HY_G5B-_2NB3sjz7oAHFs4MPlSdbuHkAiSNig8lhE4crhXyz_p-e1plNbwX3M1g7vV_zQoFBvN8p7livbBdpy3jCip3ExNHAPdGLMpRS/s1600/GarispanduanPetaMinda.JPG

Secara langsung, anda berhubung secara aktif dengan maklumat yang ada dalam ingatan atau dalam perkataan lain, anda sebenarnya sedang berbicara dengan daya ingatan sendiri.

Peta minda juga boleh merangsang beberapa anggota anda yang mempunyai peranan tersendiri seperti berfikir, memerhati, memilih, melukis dan menentukan anda memahami apa yang anda inginkan.

Tangan anda ikut serta dalam kerja-kerja tersebut. Ia dapat memahirkan diri dengan disiplin yang penting dalam pembelajaran.

Menggunakan peta minda bermakna anda harus menggunakan kemahiran menyusun maklumat yang betul dan tepat dan mudah difahami.

Peta minda juga membolehkan anda membuat perkaitan dengan lebih mudah dan cepat.

Apa yang anda ingat akan dapat diperkukuh melalui gambaran dan tulisan yang anda lakukan.

Kemudian anda mengaitkan pula dengan beberapa isi kecil yang lain.

Ini lama kelamaan akan membentuk idea keseluruhan mengenai apa yang anda inginkan daripada daya ingatan anda.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa penggunaan peta minda akan menambahkan keseimbangan otak kiri dan otak kanan.

Anda telah ditunjukkan mengenai keperluan keseimbangan antara otak kiri dan otak kanan dalam rencana-rencana yang terdahulu.

Apa yang menarik mengenai peta minda ialah ia merangkumkan semua aspek bahasa, analitis, reka bentuk, matematik, deria dan sebagainya dalam usaha keseluruhannya.

Kelebihan lain yang terdapat pada peta minda ialah ia mudah digunakan serta sesuai untuk semua tujuan.

Peta minda amat sesuai untuk tujuan menelaah pelajaran, mengambil nota yang diajar oleh guru, membaca buku, persediaan sebelum berbahas, untuk bermesyuarat, malah untuk persediaan membeli-belah.

Anda tidak perlu menuliskan semuanya pada sekeping atau lebih kertas.

Anda tidak akan sukar untuk memikirkan secara mendalam kerana ingatan anda dibantu oleh hasil lukisan dan tulisan mata dan tangan anda.

Peta minda boleh disediakan dengan mudah. Pada buku tulis atau sekeping kertas, tulis topik utama yang menjadi perhatian anda. Topik tersebut, misalnya pembelajaran, eloklah dituliskan di bahagian tengah.

Dari sini, pelbagai perkara lain yang berkaitan dengan topik pembelajaran akan dihasilkan dalam bentuk cabang atau cawangan daripada pembelajaran tadi.

Daripada cabang-cabang tadi, anda boleh menghasilkan pelbagai fakta isi kecil yang lain bentuk ranting.

Di samping itu, anda boleh juga menggunakan pelbagai imej lain yang boleh mencorakkan peta minda dengan lebih menarik.


-adap.com.my

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.