Monday, July 2, 2012

Jefrydeen Terima Geran di Kampung Melayu

Penyanyi pop yeh yeh, Datuk Jefrydeen Imbrom Soekaman, adalah antara 20 penerima surat hakmilik tanah daripada Kerajaan Selangor di Kampung Melayu Subang Tambahan di sini hari ini.

Beliau yang menetap di kampung tersebut sejak 1996 mengucapkan rasa syukur kerana impiannya bagi memiliki hak kepada tanah yang diduduki akhirnya tercapai.

“Saya berasa syukur dan gembira kerana menunggu lebih 10 tahun dan akhirnya ia menjadi kenyataan.

Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang prihatin akan masalah ini serta meluluskan permohonan saya.

Sebelum ini saya pernah memohon beberapa kali sejak 1999 tetapi gagal,” kata penyanyi 65 tahun yang popular dengan lagu “Kenanganku”.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah Penduduk kampung tersebut di sini hari ini.

Majlis penyerahan itu disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan dihadiri Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad dan Rodziah Ismail, serta ADUN Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim.


Seorang lagi penerima, Che Nah Salleh, 60, berkata pemberian hakmilik itu adalah bukti Kerajaan Negeri amat mengambil berat akan kebajikan rakyat di Selangor.

Pesara kakitangan kerajaan itu pernah membuat permohonan hakmilik pada zaman pentadbiran Umno-BN tetapi keputusannya menghampakan.

“Selepas 2008 barulah segalanya berubah dan akhirnya masalah ini dapat diselesaikan. Memang saya gembira dengan anugerah ini,” kata ibu tunggal lima anak yang kematian suami pada 1981 itu.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri mendapati masih ramai penduduk di sesuatu kawasan penempatan di Selangor yang masih tidak dapat hakmilik.

Ini kerana mereka adalah terdiri dari penduduk yang telah mendiami kawasan perumahan tersebut dalam tempoh yang lama.

“Oleh sebab itu Kerajaan Negeri telah meminta Pegawai Daerah dan Pejabat Tanah untuk menyelesaikan masalah ini.

Walaupun masanya agak lama untuk selesai, iaitu lebih dari setahun, tetapi saya rasa bila sudah diselesaikan, ia memberikan ketentuan kepada pemiliknya,” katanya. -selangorku

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.