Tuesday, September 18, 2012

Menentang ekstremisme dari mana sekalipun

SAYA tertarik membaca tafsiran ayat 222 Surah Al-Baqarah oleh pengarang Tafsir Al-Mizan ‘Allamah Sayyid Hussein Tobatobaíie . Ayat 222 tersebut adalah berkaitan dengan haid (‘datang bulan’ menurut orang Melayu).

Pengarang Tafsir Al-Mizan menyatakan: “Manusia mempunyai pelbagai pendapat dan adat tentang wanita ketika mereka dalam keadaan haid. Penganut Yahudi bersikap terlalu keras dalam hal ini.

Mereka meninggalkan wanita yang haid hatta dalam makan dan minum. Wanita Yahudi yang haid akan dipisahkan dengan suami mereka dan wanita dilarang makan bersama ahli keluarga dan juga akan tidur bersendirian.

“Penganut Nasrani pula terlalu meringankan soal haid ini sehingga mereka bebas bercampur dengan wanita haid malahan boleh tidur dan mengadakan hubungan kelamin dengan wanita tersebut.

“Orang Arab jahiliah pula tidak mempunyai kaedah tetap dalam hal ini. Bagi orang Arab di Madinah dan persekitarannya, mereka lebih mengguna pakai adat resam orang Yahudi. Manakala ada juga orang Arab jahiliah yang suka mengadakan hubungan seks dengan pasangan mereka yang sedang dalam haid atas kepercayaan sekiranya isteri mereka hamil ketika itu, anak yang dilahirkan akan menjadi ganas dan suka menumpahkan darah – kualiti yang dibanggakan Arab Badwi.”

Pengarang Al-Mizan seterusnya menyatakan: “Ayat 222 (Surah Al-Baqarah) ini hanya melarang suami daripada mengadakan hubungan kelamin dengan isterinya yang sedang dalam haid.

Ia tidak mengenakan apa-apa sekatan ke atas wanita-wanita yang sedang haid dan mereka boleh bersama-sama dalam soal makan, minum hatta tidur sekali pun. Dengan lain perkataan Islam mengambil jalan sederhana (tengah) iaitu antara sikap melampau pihak Yahudi dan sikap terlalu bebas dan terlalu meringankan pihak Nasrani.”

Inilah antara ciri wasotiyyah (kesederhanaan) ajaran Islam. Saya sengaja mengutip tafsiran tentang ayat haid tersebut bagi menunjukkan betapa Islam tidak suka kepada perbuatan melampau.

Atas dasar itu apabila wujudnya filem pendek yang diterbitkan di Amerika yang menghina Islam dan Nabi Muhammad s.a.w., bagi kita ia adalah satu perbuatan melampau yang sama sekali tidak boleh diterima.

Islam sama sekali tidak boleh menerima mana-mana Nabi dihina apatah lagi Nabi Muhammad s.a.w.

Jika orang Kristian memandang tinggi Nabi Isa a.s., Islam pula mewajibkan orang Islam beriman bahawa Nabi Isa a.s. ialah salah seorang Nabi Utusan Allah. Sebab itu orang Islam tidak boleh menerima sikap melampau kepercayaan bahawa Nabi Isa a.s. ialah ‘anak Tuhan’. Namun dalam masa yang sama, Islam juga tidak membenarkan mana-mana pengikutnya menghina kepercayaan orang Kristian tersebut.

Begitu juga Islam menerima hakikat wujudnya Nabi dari keturunan Yahudi seperti Nabi Yaakub dan Nabi Yusuf a.s.. Islam juga mewajibkan pengikutnya beriman dengan nabi-nabi tersebut.

Atas dasar itu jika ada mana- mana pihak menghina Nabi Muhammad s.a.w., hakikatnya mereka seolah-olah menghina nabi-nabi lain seperti Nabi Isa yang diyakini oleh orang-orang Kristian atau nabi-Nabi daripada keturunan Yahudi. Dalam hal ini sepatutnya ada titik persamaan antara Islam dan agama-agama Kristian dan Yahudi. Kita yakin mana-mana pengikut Kristian dan Yahudi yang sebenar sudah tentu tidak boleh menerima perbuatan melampau menghina Nabi Muhammad s.a.w. seperti yang berlaku sekarang.

Orang berkata jika ada aksi sudah tentu ada reaksi. Jika orang Islam merasa marah dan berdemonstrasi membantah perbuatan biadap pengeluar filem yang menghina Nabi Muhammad s.a.w., ia adalah hasil satu provokasi yang tidak perlu. Adakah umat Islam perlu berdemonstrasi jika filem tersebut tidak diterbitkan?

Bercakap tentang sikap toleransi saya tertarik dengan apa yang dikatakan oleh Chris Patten, bekas Gabenor Inggeris di Hongkong di dalam bukunya “Not Quite The Diplomat”. Beliau menyatakan: “Kita tidak akan berjaya dalam perjuangan tentang toleransi di Amsterdam atau di Paris atau di Manchester jika kita menunjukkan sikap ‘double standard’ tentang bagaimana kita berurusan dengan jiran kita yang beragama Islam.”

Pihak Amerika sepatutnya sedar bahawa sikap, tindak-tanduk, polisi dan provokasi mereka yang selalunya mengundang kemarahan umat Islam. Bekas Pengarah Perisikan Nasional Amerika, John Negroponte sendiri pernah mengakui semasa pendengaran di Senat Amerika pada awal tahun 2005 bahawa “polisi kita di Timur Tengah membangkitkan penentangan orang Islam”.

Untuk berlaku adil kepada Amerika, kita juga tidak boleh menerima mana-mana pihak yang mengebom Kedutaan Amerika di Libya sehingga membawa kematian dutanya di sana. Keadilan mesti ditegakkan hatta ke atas musuh kita kerana itulah ajaran al-Quran.

Kita perlu menentang ekstremisme. Sebab itu kita tidak boleh menerima beberapa perbuatan melampau Umno dan sekutu-sekutunya seperti memijak kepala lembu, membuat kek berbentuk najis manusia untuk Ketua Menteri Pulau Pinang atau bersenam punggung di hadapan rumah Pengerusi Bersama Bersih, Dato’ S Ambiga.

Perbuatan-perbuatan ini bukan sahaja tidak perlu malahan akan mengundang perkara yang tidak mendatangkan apa-apa faedah.

Oleh MOHAMED HANIPA MAIDIN

11 comments:
Write comments
  1. Sebenarnya dlm Islam tiada istilah ekstrem. Ianya pendapat individu tu sendiri yg kebetulan beragama Islam. Mcm tunggeng punggung kpd S.ambiga atau letak kepala lembu depan pejabat MB Selangor atau beri kek bentuk najis kpd KM PPinang atau apa2 tindakan kump Perkasa. Semua tu tiada dlm ajaran islam, maknanya islam tak suruh lagak ekstrem malah hanya mendedahkan yg betapa dangkalnya org islam dewasa ini. SYIAH sendiri pun bukan dr ajaran islam yg minta dbunuh sesiapa yg tidak sealiran dgnnya dan kita bole saksikan apa yg brlaku dan sentiasa akan brlaku antara SYIAH dn SUNNAH dnegara arab. Lalu, apa kategori penangkap yg menangkap dan menggari Imam Hoslan di Pandan Indan baru2 ni? Imam yg cuba dedahkan penyelewengan wang masjid yg dlakukan oleh AJK Masjid kot.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. sama jugak dgn puak Perkasam yg ganggu tazkirah ugama DS Anwar di Alor Setar tempohari. Apa kita nak cop puak2 tu.

    ReplyDelete
  4. Dalam mana2 agama, juga dalam mana2 parti pasti ada saja individu/pihak yang bersikap ekstrim terhadap yang lain. jadi, jangan salahkan agama/parti tapi sebaliknya salahkan mereka yang cetuskan masalah tersebut.

    ReplyDelete
  5. Jangan menghina Nabi orang kerana ini akan mendatangan kemarahan. Begitu juga dengan agama lain di Dunia ini. Mereka pun tidak suka perkara sebegini dibuat.

    ReplyDelete
  6. saya org sabh bah:

    aku sokong ko...pilih la PR yar...kahkah...

    ReplyDelete
  7. please la,dgn contoh yg perinci dan menghina hak-hak wanita ni memang tidak wajar,tu semua common sense,tidak perlu berkaitkan dengan politik!!

    ReplyDelete
  8. Menentang ekstremisme pun biarlah berpada-pada

    ReplyDelete
  9. jgnlah amalkan sikap ekstem.

    ReplyDelete
  10. Hanya mereka yang terlalu taksub akan amalkan budaya ekstrem sehingga terpesong dari ajaran sebenar.

    ReplyDelete
  11. Tapi ekstrem dlm umno tu bukan taksub tapi pengganas.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.