Tuesday, June 21, 2011

Bersih 2 : Perkasa Beri Amaran Kaum Cina

Perkasa bersama 164 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini melancarkan “perang” terhadap Himpunan Bersih 2.0 dengan membakar gambar Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreenevasan dan memberi amaran kepada kaum Cina agar jangan keluar pada 9 Julai ini kerana “apa sahaja boleh berlaku.”

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menegaskan perhimpunan anti-Bersih 2.0 yang bakal diadakan serentak akan diteruskan dan beliau tidak akan bertanggungjawab atas sebarang insiden tidak diingini.

“Cuba bayangkan jika berlaku huru-hara... jika himpunan Bersih 2.0 tidak dibatalkan, saya percaya kaum Cina perlu simpan bekalan makanan.

“Ya, apa sahaja boleh berlaku. Dan saya minta agar polis mengambil apa sahaja tindakan dan gunakan kuasa mereka untuk bertindak,” katanya pada pelancaran perhimpunan Gerak Aman di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

PAS telah berjanji akan menggerakkan 300,000 peserta untuk menyokong perhimpunan itu untuk mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya adil dan bebas pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.
Dalam ucapan di hadapan penyokongnya termasuk kalangan Cina dan India, Ibrahim berkata Himpunan Bersih 2.0 diadakan kerana gerakan itu mempunyai agenda untuk menumbangkan kerajaan sedia ada dengan mengambil inspirasi daripada apa yang berlaku di Timur Tengah.

“Kita tahu tujuan mereka turun ke jalanan, kumpulan ini mahu menimbulkan huru-hara dalam negara, kalau dulu peristiwa 13 Mei (1969) negara diisytiharkan darurat dan Tun Abdul Razak (Hussein) dilantik sebagai ketua negara sementara dan jika ia berlaku nanti adakah perkara sama akan berlaku?

“Sebab itu kita tidak boleh berdiam diri, kita tahu orang Cina mengutamakan perniagaan... kita tidak mahu himpunan 9 Julai yang mereka buat ini menunjukkan mereka dapat restu daripada rakyat, kita bertegas dalam perkara ini dan kita bukan mahu melakukan provokasi,” katanya.

Malah dalam ucapan pelancaran, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mendakwa Ambiga sebagai ejen Yahudi.

“Kita tentang Ambiga bukan sebab dia India tapi sebab dia jahat, Melayu jahat pun ada... Melayu yang jahat juga kita marah.

“Siapa Ambiga? Saya percaya dia adalah ejen Yahudi... siapa dia puan guru Ambiga ini,” katanya.

Selain mengecam penganjuran himpunan Bersih 2.0, turut diedarkan risalah yang berbentuk serangan peribadi terhadap Ambiga dengan perkataan “Awas!!! Ambiga, wanita Hindu yang merbahaya.

“Kita sedang berhadapan dengan seorang wanita Hindu bernama Datuk Ambiga Sreevanesan (cehh... anti Islam ini pun boleh dapat Datuk) yang sangat anti kepada Melayu dan Islam yang akan mengetuai perhimpunan Bersih yang kotor sebenarnya.

“Wanita Hindu ini adalah pembela kepada kes Lina Joy yang ingin murtad. Beliau selalu membabitkan diri dalam isu-isu murtad kalangan orang Islam, malah beliau semasa menjadi presiden Majlis Peguam sangat agresif menyerang kerajaan BN (Barisan Nasional) kerana diterajui oleh orang Melayu,” kata risalah itu.

Kata Ibrahim, pihaknya akan menggerakkan 20 bas dari setiap negeri pada 9 Julai ini untuk membantah Himpunan Bersih 2.0.

“Percayalah hanya segelintir orang Cina dan India akan sertai Himpunan Bersih 2.0 itu nanti, yang ramai ialah orang-orang Melayu... agenda himpunan ini bukan hendak menuntut satu pilihan raya yang bersih tapi agenda utama untuk menghuru-harakan negara seperti mana yang berlaku di Mesir, Tunisia, Libya dan beberapa negara lain.

“Mereka kata pilihan raya tidak adil tapi pada 2008 mereka tawan empat negeri, menang 82 kerusi Parlimen, kalau mereka kata ini tidak adil saya cabar mereka letak jawatan masing-masing dan kita adakan semula pilihan raya,” katanya.

Selain Perkasa dan Bersih, Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan pada hari tersebut.

Tegas Ibrahim, himpunan anti-Bersih tidak akan bergabung dengan Pemuda Umno sambil berkata “tidak mahu digelar sebagai himpunan parti politik.”

“Kita tidak akan bergabung dengan Pemuda Umno, kita ini adalah NGO bukan parti politik dan kita mahu bergerak atas tiket NGO.

“Ini keputusan kita, kita hanya bergerak atas NGO bukan parti politik,” katanya sambil menambah tindakan Bersih turun ke jalanan bukan kebebasan bersuara yang sebenar.

Turut hadir dalam pelancaran itu Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru Datuk Zulkefli Noordin dan bekas timbalan menteri penerangan Datuk Khalid Yunus.

Ditanya soal permit, Ibrahim menegaskan jika Himpunan Bersih 2.0 diadakan tanpa permit, maka pihaknya juga akan berhimpun tanpa permit.

“Jika Bersih tidak memohon permit kita juga akan lakukan perkara sama, kalau Bersih mempunyai permit kita juga akan mohon permit,” katanya. -MT

19 comments:
Write comments
  1. Siapa Ibrahim Ali ini yang berhak memberi sebarang amaran kepada kaum lain? Tidak layak langsung.

    ReplyDelete
  2. Suka hati saja melabelkan orang sebagai Yahudi. Cermin diri. Jangan2 Ibrahim Ali inilah ekstrimis, pengganas dan yang seangkatan dengannya.

    ReplyDelete
  3. “Cuba bayangkan jika berlaku huru-hara... jika himpunan Bersih 2.0 tidak dibatalkan, saya percaya kaum Cina perlu simpan bekalan makanan."

    Tak perlu himpunan BERSIH 2.0 pun boleh berlaku huru-hara jika Ibrahim Ali ini sering mengeluarkan kenyataan yang berbaur sentimen perkauman dan agama.

    ReplyDelete
  4. Apa saja statement yang keluar dari mulut Ibrahim Ali rasis ni memang saya tidak berkenan.

    ReplyDelete
  5. Perhimpunan bersih ini mengundang kekecohan saja..kan baik jika perhimpunan ini tidak perlu diadakan.

    ReplyDelete
  6. masilah.. tolong baca btul2, ada x pngajur bersih kluarkan statemen2 bahaya mcm ibrahim ali? org yg mnyibuk mnumpang 9julai tu yg buat kecoh! kalau hebat sangat cuba tunjuk berapa sangt yg menentang Bersih sila bkumpul 7 atau 8 Julai...

    ReplyDelete
  7. dengan jumlah perserta yang begitu ramai, mustahil perhimpunan ini boleh diadakan dengan cara aman. sedar la wahai rakyat yang menyertai perhimpunan ini, anda hanya dijadikan perisai untuk mencapai impian pemimpin2 politik yang gila kuasa.

    walau macam mana adil sekalipun pilihanraya, Pakatan tetap akan melabelnya tidak adil selagi mereka tidak berjaya menduduki Puterajaya. disebabkan tidak ada cara lain untuk menumbangkan kerajaan kerana parti mereka kian ditolak rakyat, maka terpaksalah mereka menggunakan cara paling kotor untuk mencapai matlamat..

    ReplyDelete
  8. sekiranya berlaku apa2 yang tidak diingini terhadap orang awam, golongan peniaga, pelancongan, harta benda awam dan sebagainya, saya harap semua rakyat Malaysia mendesak supaya Ambiga bertanggungjawab.. jangan hanya berani buat perhimpunan tapi berdolak dalik bila diminta bertanggungjawab.

    ReplyDelete
  9. masih ingatkah pada perhimpunan Hindraf pada tahun 2007, Mereka berikrar perhimpunan ini akan berjalan dengan aman. tapi bagaimanapun seamsa perhimpunan tersbut mereka bersikap ganas dgn membaling batu kepada pihak polis. berlaku huru hara dan kerosakan harta benda.

    jika perhimpunan bersih dilakukan, tidak mustahil kejadian seprti itu akan berulang lagi.

    ReplyDelete
  10. semua pihak perlulah bersikap rasional..janganlah bertindak sesuka hati tanpa memikirkan kepentingan awam.

    ReplyDelete
  11. saya inginkan keadaan Malaysia seperti beberapa tahun lalu..tiada kekecohan seperti ini berlaku. rakyat pun hidup bersatu padu tanpa membezakan kaum dan agama. apa sebenarnya yang membuatkan semua ini berubah??

    ReplyDelete
  12. Semua hal mau kasi kait dengan perkauman. Ibrahim patut ditahan dan didakwa bawah akta hasutan.

    ReplyDelete
  13. Apa muslihat ibrahim ini? Sanggup mengadaikan ketenteraman negara yang dipupuk sekian lama.

    ReplyDelete
  14. Memasang api dan mengatakan tidak bertanggungjawab atas tindakan sendiri.

    Apa jenis manusia ini?

    ReplyDelete
  15. Perkasa tidak harus mengeruhkan keadaan dengan tindakan mereka. Bersikap terbuka dan rasional.

    ReplyDelete
  16. Ibrahim Ali sudah tandus idea nak buat isu. Kini dia bagai sudah gila dan bertindak tanpa memikirkan kesan yang bakal diciptakan.

    ReplyDelete
  17. Kita kutuk sama-sama kenyataan ibrahim gila ini.

    ReplyDelete
  18. neji oh neji.. tahniah kerana anda adalah hasil daripada minda yang setiap hari membaca Utusan Meloya, TV3suku dan sesakatnya.. cuba saudara bayangkan dimanakah adilnya pilihanraya dari dulu hingga sekarang?
    jika berlaku keadilan dalam pilihanraya sudah tentu BERSIH tidak akan diadakan kerana rakyat tahu mereka telah memilih calon yang betul.
    Malangya ia tidak berlaku, adakah SPR benar2 telus? media arus perdana telus? dimana kebebasan media? demokrasi hanya teori sahaja, selebihnya adalah autokrasi.

    ReplyDelete
  19. Perkasa ini patut dibubarkan.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.