Sunday, July 17, 2011

Kebangkitan golongan intelektual muda

Saya merasakan bahawa kita perlu memberikan konotasi yang kritikal terhadap istilah golongan intelektual muda agar setanding dengan nilai dan fungsi golongan ini terhadap masyarakat. Saya tidak mahu menyempitkan ruang lingkup perbincangan dengan hanya meletakkan latar belakang pengajian sama ada formal atau tidak formal sebagai tanda aras golongan ini.

Pada pandangan saya, apa yang perlu diberi perhatian ialah sejauhmana mereka yang mempunyai latar belakang pengajian ini memberi kesan terhadap masyarakat dan negara. Raja Ahmad Aminullah dalam bukunya Minda Tertawan meletakkan lima ciri penting golongan intelektual, termasuklah memiliki pengetahuan tinggi, mempunyai keupayaan untuk menelaah permasalahan masyarakatnya, mampu mengemukakan saranan-saranan untuk pembaikan, mempunyai komitmen dan iltizam yang tinggi terhadap masyarakat dan mempunyai keupayaan serta keberanian untuk menyampaikan hujah dan nasihat-nasihat kepada penguasa!

Konotasi yang merangkumi ciri yang kritikal ini sepatutnya menyedarkan mereka yang menganggap diri sebagai golongan intelektual mengoreksi semula diri. Mereka yang mengangkat diri sebagai golongan intelektual seharusnya malu jika sekiranya ketinggian pendidikan formal yang sudah mereka capai tidak setanding dengan fungsi mereka kepada masyarakat dan negara.

Lebih memalukan apabila para intelektual sanggup menjual nilai harga intelektual itu demi kepentingan peribadi atau kepentingan periuk nasi. Kita tidak dapat menafikan fenomena para intelektual "plastik" ini berlaku dalam negara kita. Para intelektual "plastik" lebih sanggup melihat kehancuran masyarakat dan negara demi memastikan survival mereka terjaga.

Walau bagaimanapun akhir-akhir ini kita sudah mendengar suara-suara keramat kelompok inteligensia yang sudah berani menyampaikan nasihat dan kritikan kepada penguasa. Kebangkitan golongan intelektual ini amat mengujakan, bermula dengan tampilnya Sasterawan Negara A. Samad Said (gambar kanan), diikuti oleh para sasterawan yang lain. Tidak ketinggalan juga para agamawan muda, para doktor, para peguam, para pensyarah, penjawat kakitangan awam dan lain-lain kelompok yang sedar dan bangkit menentang kezaliman.

Femonena kebangkitan ini mengingatkan kita kepada sejarah lampau, sejarah perjuangan kelompok inteligensia ini dalam menentang penjajahan. Sumbangan nama-nama besar seperti Burhanuddin Helmi, Syed Shaykh Al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Abu Bakar Baqir dan tokoh-tokoh yang lain memberi inspirasi kepada perjuangan golongan intelektual yang berprinsip.

Perjuangan mereka adalah perjuangan yang mandiri. Mereka bebas menyatakan pendirian, kritikan atau saranan kepada para penguasa tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Mereka juga jauh sekali untuk memperbaiki saranan dan kritikan mereka sesuai dengan kehendak dan citarasa para penguasa.

Kini sudah tiba masanya perjuangan yang dipelopori oleh orang terdahulu kita sambut semula. Seluruh sosok intelektual khususnya mahasiswa dalam negara ini perlu sedar bahawa tanggungjawab para intelektual ialah menyatakan kebenaran dan keadilan setanding dengan nilai keilmuan yang mereka ada. Golongan intelektual muda kini tidak terkecuali dalam usaha untuk terus memberi pencerahan kepada masyarakat demi menyaksikan tanahair yang kita cintai ini tertegak di atas norma-norma keadilan dan kebenaran.

Salam kebangkitan anak muda! Road to BERSIH 3.0!

*Muhammad Safwan b. Anang @ Talib selaku Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).



Sumber : MR

20 comments:
Write comments
  1. Selamat berjuang semua.

    ReplyDelete
  2. golongan intelektual diharap dapat menyumbangkan sesuatu yang terbaik untuk masyarakat dan negara.

    ReplyDelete
  3. golongan muda merupakan generasi masa hadapan negara, mereka ini perlu sedr akan tnggungjawab mereka.

    ReplyDelete
  4. golongan muda memang perlu sedar tanggungjawab mereka dan jangan mudah terpengaruh dengan unsur yang cuba mempengaruhi mereka.

    ReplyDelete
  5. Diharapkan golongan intelektual ini bijak menilai sesuatu perkara. Jangan jadi golongan yang mudah dipengaruhi dan akhirnya diperalatkan untuk menjadi tali barut untuk merealisasikan agenda pihak tertentu.

    ReplyDelete
  6. Sesetengah orang dianugerahkan dengan kepetahan untuk berkata-kata dan ini kelebihan mereka untuk mempengaruhi orang lain. Tetapi semua orang dianugerahkan dengan akal dan fikiran. Jadi gunakanlah ia sebaik mungkin. Jadi rasional, bukan emosional.

    ReplyDelete
  7. Biarlah mereka terus dihantui PR. Biar mereka sendiri memikirkannya nanti apa yang akan berlaku.

    ReplyDelete
  8. golongan pelajar perlu menggunakan kemahiran dan pengetahuan mereka untuk memajukan negara, bukannya menyertai demonstrasi untuk menjadi perisai kepada pemimpin2 politik yang terdesak mahu merampas kerajaan.

    ReplyDelete
  9. golongan muda harus diberikan laluan dan ruang untuk membuktikan mereka mampu menerajui negara..bukannya terus-menerus dinafikan atau dihalang melalui kekangan politik dan sebagainya.

    ReplyDelete
  10. masa kini kita tidak memerlukan tampuk2 pemikiran kolot seperti rasism dan pengekploitasian agama sebagai landasan politik seperti apa yang telah dilakukan oleh sesetengah ahli parlimen khususnya Ibrahim Ali.

    ReplyDelete
  11. golongan muda intelektual harus menggunakan kelebihan mereka untuk membantu membangunkan negara..kelebihan ini seharusnya tidak disalahguna..

    ReplyDelete
  12. jangan mudah terpengaruh dengan anasir2 negatif sehingga menyebabkan kerugian..

    ReplyDelete
  13. Impak dari golongan ini tidak boleh dipandang ringan. Mereka berupaya mengubah minda rakyat dan membawa kesan besar terhadap politik negara.

    ReplyDelete
  14. Tua ke muda, Laki ke perempuan, kaya ke miskin, berpendidikan ke tidak, jika terlampau ditekan, pantulan juga sangat kuat.

    ReplyDelete
  15. Kebangkitan mereka mampu memerangsangkan kesedaran lebih ramai rakyat memperihatin terhadap hak mereka.

    ReplyDelete
  16. Jika golongan intelektual negara bangkit menentang sesuatu, itu bermakna ada sesuatu yang tak terkena.

    ReplyDelete
  17. Kerajaan boleh memanggil mereka dalam satu forum perbincangan dan menerima cadangan mereka membuat teransformasi dalam sistem pentadbiran dan sistem pilihan raya.

    ReplyDelete
  18. Rakyat mempercayai mereka kerana mereka berpengetahuan tinggi dan berpandangan luas.

    ReplyDelete
  19. Rather than doing a demo, it would be much better to sit down and discuss professionally about what the people want.

    ReplyDelete
  20. I hope BERSIH get what they want.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.