Tuesday, July 5, 2011

Kementerian tegas laksana PPSMI dalam BM

http://adlankhalidi.com/wp-content/gallery/blogpix09/ppsmi.jpgTimbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran tegas dengan pendirian untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu demi memartabatkan penggunaan bahasa itu sebagai bahasa pengantar utama pendidikan negara.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata selaras dengan pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), Kementerian telah melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai tahun 2011 bagi murid Tahun 1.

“Melalui KSSR ini, pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dilaksanakan dalam Bahasa Melayu,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah pada persidangan Dewan Negara di sini, kelmarin.

Dr Firdaus yang ingin tahu pendirian kementerian terhadap gesaan sesetengah pihak yang cuba hendak mengulang kembali ‘polemik mubazir’ mengenai penggunaaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Mata Pelajaran Sains dan Matematik.

Sementara itu, Muhyiddin berkata jumlah terbitan Dewan Budaya dan Pustaka (DBP) tidak mencapai sasaran ditetapkan serta tidak dapat dipasarkan meluas di kedai-kedai buku utama ekoran masalah kewangan yang dihadapi oleh syarikat konsesinya, Dawama Sdn Bhd, ekoran keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.

Syarikat Dawama Sdn Bhd adalah syarikat konsesi yang telah mengambil alih kerja-kerja pracetak, reka bentuk, percetakan, pengedaran dan pemasaran produk terbitan DBP.

“Hal ini sedang ditangani oleh DBP secara serius bersama pihak Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri dan pihak Kementerian Pelajaran supaya satu tindakan penyelesaian dapat diambil dalam masa terdekat,” katanya.

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.