Sasterawan ulung tanah air Datuk Baharuddin Zainal, lebih dikenal dengan
nama pena Baha Zain, hari ini diumumkan sebagai Sasterawan Negara
ke-12.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang
juga Menteri Pelajaran, ketika mengumumkannya, berkata Yang di-Pertuan
Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyampaikan anugerah
itu pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
"Pemilihan
tokoh ini adalah berdasarkan sumbangan cemerlang dalam perkembangan
kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan
kegiatan sastera bermutu tinggi pada peringkar kebangsaan dan
antarabangsa," katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan
Perdana Putra di Putrajaya.
Anugerah kerajaan persekutuan itu melayakan Baha (kanan)
menerima wang tunai sebanyak RM60,000, Watikah Penghormatan Negara dan
mendapat tajaan RM500,000 bagi menerbitkan 50,000 naskah karya beliau
untuk diedarkan ke sekolah, jabatan dan agensi kerajaan.
Selain
itu, Baha juga akan menerima kemudahan perubatan percuma wad kelas satu
di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan dan keselesanan untuk mencipta
karya sastera, menerbitkan karya serta penterjemahaan karya yang sesuai
ke dalam bahasa asing.
Baha, anak kelahiran Hutan Melintang,
Perak, berusia 73 tahun itu, berkarya sejak di sekolah menengah dan mula
dikenali menerusi karyanya yang berjudul 'Perempuan dan Bayang-Bayang'
yang dihasilkan pada 1974.
Antara kejayaan peribadi beliau dalam
dunia sastera adalah menerima Anugerah Tokoh Persatuan Penulis Nasional
Malaysia (Pena) 2011, Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award)
1980 selain Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa (Persatuan Linguistik
Malaysia) 2004 dan Anugerah Budaya Gapena pada 2008.
Pada Mac
tahun lepas, penyair Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali
dengan nama penanya Kemala, 72, dipilih sebagai Sasterawan Negara ke-11.
-Bernama
Saturday, March 16, 2013
Baha Zain diumum Saterawan Negara ke-12
Subscribe to:
Post Comments (Atom)




No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.