Tuesday, August 21, 2012

Dirempuh Sebelum Diragut Penyamun

“Kenapa ni? Kenapa ni? Itulah ayat yang pada mulanya disangka mangsa mahu membantunya selepas dirempuh kereta, sebaliknya hanya alasan si penyamun untuk bertindak kejam dengan meragutnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang sehari sebelum Aidilfitri itu, mangsa, Siti Zabedah Saad, 41, yang menunggang motosikal jenis Modenas dirempuh sebuah kereta Perodua MyVi bewarna hijau dari arah belakang.

Menurutnya, ketika itu dia dalam perjalanan pulang dan tidak sedar diekori kereta terbabit.

"Saya baru selesai membeli juadah untuk berbuka puasa dan melalui jalan kampung untuk pulang ke rumah.

"Tiba-tiba sewaktu mahu masuk ke simpang jalan menuju ke rumah di sebuah taman di Rembia, saya dirempuh dari belakang menyebabkan saya hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan, sebelum terseret hampir 50 meter," katanya, semalam.

Zabedah berkata, dua lelaki terbabit segera keluar dari kereta dan mendekatinya.

"Kedua-duanya berkulit gelap.

Mereka yang kelihatan panik berpura-pura bertanyakan keadaan saya.

"Sambil bertanya, mereka ragut rantai leher saya tetapi tidak sedar buah rantai tersebut tercampak jauh," katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Cheng.


Menyedari dua lelaki terbabit bukan mahu membantunya, dia cuba bangun melawan penyamun terbabit.

"Ketika itu mereka masih lagi mencari-cari barangan untuk dicuri tetapi gagal. Walau sakit, saya kuatkan semangat mengejar mereka yang segera memecut kereta, tetapi malangnya motosikal saya rosak selepas dirempuh," katanya.

Zabedah berkata, dia bernasib baik kerana dompet yang dibawa berisi empat bentuk cincin, seutas rantai tangan dan wang RM200 terselindung di sebalik motosikal yang terjatuh.

"Kebetulan ketika itu, sebuah kereta peronda polis melalui jalan berkenaan dan membantu membawa saya ke Hospital Alor Gajah mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan," katanya yang cedera di kaki dan tangan sebelah kiri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Permai, Rembia sebelum dilanggar dan diragut dua lelaki menaiki kereta.

“Mangsa tercampak dan terseret selepas dilanggar dua lelaki terbabit yang kemudiannya berpura-pura bertanya keadaannya sebelum meragut rantai leher yang dipakai, dianggarkan bernilai RM2,500.

“Mangsa cedera dan membuat laporan polis di Balai Polis Rembia sebelum kes dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

-GB

10 comments:
Write comments
  1. Lambat nak siasat tuh. Tapi kalau tangkap ustaz ngajor agama, sekejap jer dpt ler. Insan lemah katakan. Dpt tangkap penjenayah ponn, lepas balik dan buat hal lagi. Confirm. Sebab tu tak pelik jika ada pemjenayah yg ditangkap semalam ada 5 kes jenayah lampau. 1Malaysia.

    **Raja Sulu'

    ReplyDelete
  2. Satu lagi jenayah, pasti peratusan jenayah meningkat lagi. Tak.tak..mereka kata jenayah rendah dan terkawal

    ReplyDelete
  3. Macam2 cara penyamun sekarang.

    ReplyDelete
  4. Macam2 boleh berlaku doakan agar kita sentiasa dilindungi dan dijauhkan dari pelbagai malapetaka.

    ReplyDelete
  5. Macam2 taktik penyamun dan perompak sekarang. baru2 ni pun ada juga peringatan dari pihak polis untuk tidak mengendahkan jika tiba2 melihat ada kanak2 cuba meminta tolong di pertengahan jalan.

    ReplyDelete
  6. Diharapkan pihak polis akan berusaha untuk mencari peragut tersebut dan mengenakan hukuman yang setimpal dengan jenayah yang dilakukan.

    ReplyDelete
  7. Harap orang ramai akan lebih berhati-hati semasa di luar.

    ReplyDelete
  8. makin kejam pula taktik penjenayah ragut ni.. langgar dulu baru ragut..

    ReplyDelete
  9. Penjenayah sekarang ini sememangnya pandai berlakon untuk melakukan jenayah. Maka berhati-hati dan buat apa yang sepatutnya jika berada dalam keadaan begini.

    ReplyDelete
  10. mcm2 cara penjenayah sekarang, kita kena sentiasa berwaspada.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.