Polis mengesahkan dua anggota komando Polis Diraja Malaysia terkorban manakala 12 penceroboh bersenjata dari selatan Filipina maut dalam insiden tembakan membabitkan kedua-dua pihak di Kampung Tanduo di Lahad Datu hari ini.
Kejadian pada kira-kira pukul 10 pagi itu turut menyebabkan tiga lagi anggota pasukan keselamatan cedera, kata polis, lapor Bernama.
Kesemua 12 penceroboh rakyat asing yang terbunuh itu adalah antara 180 pengikut 'Sultan Sulu' yang dikepung pasukan keselamatan di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo.
Mereka cuba keluar daripada kepungan pasukan keselamatan dan mula melepaskan tembakan apabila terserempak dengan anggota keselamatan yang sedang berkawal, kata Pasuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di Lahad Datu, beliau berkata insiden tembakan antara pasukan keselamatan dan kumpulan penceroboh itu berlanjutan selama 20 minit.
Menceritakan semula kejadian itu, Hamza berkata kumpulan penceroboh rakyat asing yang terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan Malaysia.
"Pihak komando polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri dan berlaku pertempuran antara kedua pihak," kata Hamza.
Hamza berkata turut ditemui pada kumpulan kecil penceroboh itu ialah beberapa laras senjata api antaranya M16, pistol dan rifel SLR, peluru dan beg-beg pakaian.
Beliau berkata polis kini mengepung Kampung Tanduo, yang masih diduduki sebahagian anggota kumpulan itu, dan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan semakin diperketatkan.
"Polis telah mengawal segala laluan dan sukar untuk pihak penceroboh untuk keluar atau masuk ke kawasan kampung berkenaan," katanya.
Hamza turut menafikan laporan termasuk yang disiar laman sosial dan agensi berita asing bahawa terdapat anggota kumpulan penceroboh itu menyerah diri dan melarikan diri melalui jalan laut.
Dalam pada itu, Hamza turut menegaskan bahawa polis tidak mengeluarkan sebarang arahan perintah berkurung di Lahad Datu ekoran insiden itu.
"Saya diberi kuasa untuk melaksanakan perintah itu dan tiada sebarang perintah itu dikeluarkan seperti yang dilaporkan," katanya sambil memberitahu bahawa keadaan di Kampung Tanduo kini terkawal dan tenang.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) dilaporkan berkata beliau telah memberi mandat kepada ketua polis negara dan panglima angkatan tentera untuk mengambil sebarang tindakan terhadap kumpulan penceroboh bersenjata itu dan tiada kompromi lagi.
Najib juga dilaporkan berkata kumpulan penceroboh itu sepatutnya menerima tawaran menyerah diri dan keluar daripada kawasan itu secepat mungkin.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula dilaporkan berkata Malaysia telah memberi tempoh sewajarnya untuk mengusir penceroboh itu supaya berundur dan pulang ke tanah air mereka.
Beliau juga berkata Malaysia sudah banyak berlembut dengan memberi ruang secukupnya dalam beberapa siri rundingan dan kaedah diplomasi.
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) mengucapkan takziah kepada keluarga dua anggota keselamatan negara, Inspektor Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin dari Unit 69 Komando yang terkorban dalam insiden bersenjata di Lahad Datu, Sabah hari ini.
"Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan menteri yang bertanggungjawab menjaga urusan keselamatan dan pertahanan negara sewajarnya tampil menjelaskan kepada rakyat tentang peristiwa berdarah ini," katanya dalam satu kenyataan.
Anwar bertanya mengapa sebegitu mudah sempadan negara dibolosi oleh sekumpulan warga asing bersenjata dan mengapakah kerajaan begitu berkompromi dalam menyelesaikan isu ini.
"Isu keselamatan negara tak sewajarnya dipandang remeh dan diambil mudah oleh pihak kerajaan. Rakyat perlu diberikan maklumat mengenai apa yang berlaku," tegas Anwar.
Sementara itu, mayat kedua anggota polis yang terkorban itu dibawa ke Hospital Lahad Datu. Dua anggota polis yang cedera pula diterbangkan ke hospital yang sama untuk dirawat manakala seorang lagi diterbangkan ke sebuah hospital di Sandakan.
Pasukan keselamatan mula mengepung Kampung Tanduo pada 11 Februari apabila kira-kira 150 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata menaiki bot pancung menceroboh ke kawasan itu pada 9 Februari dan menjadikan beberapa premis termasuk
rumah dan surau di kampung berkenaan sebagai pangkalan mereka.
Kampung Tanduo yang diduduki kumpulan itu terletak di kawasan terpencil, kira-kira 130 kilometer dari Lahad Datu.
Kumpulan itu yang didakwa diketuai Agbimuddin Kiram mendakwa mereka adalah tentera 'Raja Sulu' dan menuntut Malaysia mengiktiraf Sabah sebagai milik Kesultanan Sulu.
Sejak itu, Malaysia mengadakan beberapa siri rundingan dan menetapkan 22 Februari lepas sebagai tarikh akhir untuk pengusiran mereka.
Bagaimanapun Malaysia melanjutkan lagi tempoh pengusiran mereka kepada 26 Februari sementara menunggu sebuah kapal tentera Filipina tiba untuk membawa kumpulan penceroboh itu pulang ke tanah air mereka.
Isnin lepas, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata polis akan bertindak berlandaskan undang-undang negara selepas mengambil kira pelbagai faktor bagi merungkai isu pencerobohan rakyat Filipina itu.
Hamza menegaskan pihaknya akan menggunakan undang-undang negara untuk mendakwa mereka yang kini dalam kepungan pihak keselamatan bagi memastikan tiada yang terlepas keluar dan tiada orang yang tidak berkenaan memasuki kawasan itu.
Dua komando yang terbunuh ialah Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud.
Manakala seorang daripada tiga cedera itu dalam keadaan kritikal, dan mereka sedang dirawat di hospital.
Mereka adalah dari VAT69, unit komando elit polis yang ditugaskan membanteras komunis, dan kemudiannya ditugaskan untuk gerakan anti-keganasan dan menjalankan operasi khas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula, dalam tweetnya berkata, beliau berlepas ke Sabah untuk mendengar taklimat mengenai keadaan terkini di Lahad Datu.
Sementara itu, seorang jurucakap kesultanan Sulu mendakwa 10 orang terbunuh dan empat lagi cedera dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan penceroboh kesultanan Sulu di Lahad Datu pagi ini.
ABS-CBNnews melaporkan jurucakap Abraham Idjirani sebagai berkata dia baru bercakap sendiri dengan adik Sultan Sulu Jamalul Kiram - Azzimudie Kiram - yang mengetuai kumpulan bersenjata di Lahad Datu itu.
Azzimudie mengesahkan bahawa 10 lelaki terbunuh dan empat yang lain cedera dalam insiden tersebut.
"Dia melihat sendiri mayat-mayat tersebut," kata Idjirani dalam satu sidang akhbar di Manila.
"Yang terbunuh termasuk seorang wanita."
Idjirani merayu kepada kerajaan Malaysia supaya menghentikan
serangan itu, dan berkata orang-orang Azzimudie hanya bersenjatakan bolos (parang) dan pisau dan hanya beberapa orang bersenjatakan senapang.
Beliau mendakwa bahawa komando polis Malaysia telah menggunakan penembak tepat ke atas pengikut Azzimudie.
Akhbar berbahasa Cina, China Press pula memetik sumber yang tidak disahkan di tempat kejadian, yang mendakwa dua penceroboh telah ditembak mati, manakala tiga anggota tentera Malaysia cedera.
Bagaimanapun, ABS-CBNnews melaporkan bahawa Duta Malaysia ke Filipina telah mengesahkan berlaku insiden menembak antara kedua-dua pihak tetapi tiada sebarang kematian.
Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) Raul Hernandez memberitahu agensi berita bahawa Setiausaha Luar Filipina Albert del Rosario baru sahaja berbincang dengan duta Malaysia, yang mengesahkan berlaku insiden menembak di Lahad Datu tetapi ia sudah dihentikan.
Beliau berkata Manila sedang memantau keadaan.
Sementara itu, Azzimudie memberitahu Radio dzMM Filipina bahawa kumpulannya tidak akan kembali ke Filipina kerana ia akan "memalukan" mereka dan kesultanan Sulu.
"Kita tidak boleh pulang ke Filipina kerana ia akan memalukan kita. Kami telah menegaskan niat kami datang ke sini," Azzimudie dipetik sebagai berkata.
Menurutnya, dia dan 275 pengikutnya mahu tinggal di Kampung Tanduo di Lahad Datu manakala kerajaan Filipina sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan isu itu.
"Mereka boleh meneruskan rundingan secara aman...," tambahnya.
Manakala Sultan Sulu Jamalul Kiram memberitahu Radio dzMM bahawa dia tidak akan memerintahkan pengikutnya untuk menyerah diri walaupun berlaku kejadian berbalas tembak, tetapi menegaskan pintu rundingan masih terbuka.
Menurut ANC Dateline Filipina, jurucakap Sultan Sulu Jamalul Kiram - Abraham Idjirani - kesultanan itu tidak akan membalas dendam terhadap kematian pengikutnya, dan menegaskan kumpulan itu mahu ia diselesaikan secara aman.
Idjirani berkata mereka akan membawa perkara itu ke perhatian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan mungkin meminta Pertubuhan Persidangan Islam untuk campurtangan.
The Philippine Inquirer pula memetik Jamalul Kiram menafikan laporan bahawa adiknya, Azzimudie telah ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia.
Idjirani berkata, keluarga diraja itu masih dapat bercakap dengan Azzimudie, yang disebut sebagai Raja Muda.
"Kita bercakap dengan beliau. Beliau tidak cedera dan masih mengetuai perjuangan itu, " katanya.
Sekitar jam 3.25 petang tadi, Jabatan Luar Filipina berkata tiga orang mati dan 10 telah ditangkap dalam kejadian itu, lapor AFP. -mk
Friday, March 1, 2013
2 komando, 12 penceroboh terbunuh
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Aku kecewa dengan Perisikan ATM dan Special Branch PDRM, kenapa pengesanan awal tidak berlaku sehingga penceroboh boleh masuk ke negara ini. Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan ATM dan Ketua Cawangan Khas PDRM perlu bertanggungjawab dan LETAK JAWATAN..
ReplyDelete*mz bakar
nampaknya insiden ini berakhir dgn pertumpahan darah.
ReplyDeletetakziah pada yang terkorban
ReplyDeleteUniversiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka selamat dan tidak terancam dengan insiden pencerobohan di kawasan Lahad Datu, Sabah.
ReplyDeleteMenurut kenyataan Bahagian Perhubungan Korporat UMS, buat masa ini tiada sebarang aktiviti pelajar dan aktiviti penyelidikan dijalankan di kawasan tersebut.
ReplyDeleteTambahan pula, jarak sejauh lebih 400 kilometer antara Lahad Datu dengan kampus UMS di Kota Kinabalu juga membolehkan warga UMS terhindar daripada kemelut yang berlaku di Pantai Timur Sabah itu selain kawalan ketat pihak keselamatan negara, menurut kenyataan itu.
ReplyDeleteDua kampus cawangan iaitu UMS Cawangan Sandakan dan UMS Kampus Antarabangsa Labuan juga terletak jauh dari tempat kejadian. Pihak universiti juga meningkatkan tahap keselamatan di dalam dan sekitar kampus untuk memastikan sesi tutorial dan kuliah terus berjalan dengan lancar, kata kenyataan itu.
ReplyDeletetakziah buat keluarga anggota komando. ckup2 la berpolitik dan bersatu sbg rakyat malaysia dlm mnghadapi krisis ini.
ReplyDeleteLapuran Sabahkini ada munasabahnya.Ada unsur unsur perancangan yang teratur dalam membawa penceroboh ini masuk dan lapuran yang sebelum ini menyebut penceroboh datang kerana pelawaan pembangkang untuk membincangkan persoalan tanah sebenarnya mungkin bukan pembangkang tetapi berdasarkan lapuran Sabahkini itu ialah seorang pemimpin UMNO tempatan yang kalah perbicaraan dengan FELDA.
ReplyDeleteKalau benar lapuran itu, maka isu pencerobohan sebenarnya isu kerakusan individu yang tidak ada kena mengena dengan mana mana pihak baik kerajaan atau pembangkang tetapi persoalan keselamatan masih wajar dipersoalkan.Di mana agensi pengawal sempadan kita yang dibiayai oleh bukan sedikit wang rakyat.Menurut bekas laksamana Tentera kita, TLDM merupakan agensi yang mempunyai kredibiliti tetapi di mana TLDM dalam kes ini? Apatah lagi lapuran turut menyebut ketua penceroboh melarikan diri ke laut, macam mana boleh lepas?
Kesian dgn anggota keselamtan,dah 2 korban jiwa gara2 perjudian nasib ketua UMNO cawangan Silam. Itu juga nak mnunjukan kecelakaan UMNO dlm urustadbir negeri.
ReplyDeletePihak kerajaan tidak harus membiarkan keadaan ini sehingga mengancam nyawa.
ReplyDeleteSorry to hear that the 2 army been sacrificed.
ReplyDeleteApakah tindakan selanjutnya selepas kematian kedua hero negara?
ReplyDeleteucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa korban dan cedera dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu dan di Semporna....
ReplyDeletepenceroboh patut diambil tindakan berdasarkan undang-undang Malaysia kerana kumpulan berkenaan sudah melakukan kesalahan yang amat serius di negara ini.
ReplyDeletememinta Tentera Diraja Kesultanan Sulu di Filipina ini supaya menyerah diri dan meletakkan senjata serta merta atau berdepan tindakan tegas dan drastik dari pihak berkuasa Malaysia.
ReplyDeleteharap pihak tertentu tidak melibatkan hal ini sebagai propaganda politik mereka kerana ini adalah isu keselamatan negara..
ReplyDeletesemoga isu pencerobohan ini dapat ditamatkan tanpa ada lagi nyawa yang terkorban...
ReplyDeleteKerajaan tidak pernah cuba menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu dan kawasan berhampiran di Sabah, kata Datuk Seri Najib Razak.
ReplyDeleteNajib berkata, beliau percaya rakyat faham dan yakin, kerajaan berada pada pihak yang benar.
"Kita yang selama ini menjaga kedaulatan, keamanan dan ketenteraman di Sabah dan negara ini," katanya.
Mengulas mengenai kejadian puluhan penduduk bertindak memukul sehingga mati seorang lelaki bersenjata M16, yang dipercayai terbabit dalam serangan hendap yang mengorbankan seorang pegawai dan empat anggota polis, di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna malam tadi, Najib berkata kejadian itu menunjukkan kemarahan rakyat kepada kumpulan penceroboh itu.
ReplyDelete"Mereka bertindak sendiri untuk menyelamatkan orang kampung yang dijadikan tebusan. Mereka tunjukkan keberanian luar biasa. Orang kampung tak setuju dan bertindak tanpa takut akan nyawa mereka," katanya.
ReplyDeleteNajib bagaimanapun masih belum mendapat maklumat mengenai bilangan orang kampung yang dijadikan tebusan dalam insiden berkenaan.
ReplyDeletekita semua harus sentiasa berdoa agar isu yang berlaku ini akan cepat selesai.
ReplyDeletesemakin ramai anggota keselamatan negara yang terkorban. sama2 doakan agar isu ni tidak akan berlanjutan.
ReplyDeletePenceroboh masuk negara ni melalui beberapa jalan laut.pastikan mereka ni tidak berjaya masuk ke sabah dengan bilangan yang lebih ramai.
ReplyDeletesekarang ni, kerjasama dari semua pihak sangatlah diperlukan untuk pastikan keadaan tidak akan bertambah parah.
ReplyDeleteMereka yang aktif dalam laman-laman sosial kena pastikan mereka tidak sewenang-wenang sebarkan maklumat terutama yang berbentuk andaian/spekulasi tanpa fakta yang sahih.
ReplyDeletePray for our country, our nation.
ReplyDeleteHarap isu ini akan segera selesai, pray for our safety.
ReplyDeletejangan asyik menyalahkan kerajaan dalam isu ini, apa yang penting keselamatan kita terjamin.
ReplyDelete