Sunday, August 5, 2012

Rakyat Kelantan tunggu kejutan PM di Bachok!

Minggu lepas seorang fanatik PAS dari Ampang, Selangor memberitahu kemungkinan ada suatu kejutan akan diberitahu Perdana Menteri ketika lawatannya ke Kelantan esok. Entah Pak Ali dapat sumber dari mana.

Namun ketika dia menefon, suaranya seperti bersungguh-sungguh. Antara percaya atau tidak menyelinap di jiwa penulis. Apa kejutannya. Beritahu Pak Ali, Datuk Seri Najib Razak bakal mengumumkan royalti kepada Kelantan akan dibayar. Ujarnya lagi mungkin juga berkaitan projek lebuh raya.

Hampir seminggu isu itu bermain di kepala penulis. Tiba-tiba pagi ini dakwaan Pak Ali seperti hampir menjelma. Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu, Perdana Menteri menghantar surat kepadanya meminta dihantar wakil untuk membincangkan pembayaran royalti minyak.

Surat itu diterima semalam oleh Setiausaha Sulit Kanannya, Mohd Rosdi Abdullah. Ramai orang menjadi tidak keruan, antara percaya atau tidak.

Hampir empat tahun perjuangan untuk mendapatkan royalti 5 peratus sebagaimana termaktub dalam perjanjian dengan Petronas pada 1975, tersebar ke seluruh bumi Kelantan. Malah, ia juga mendapat dokongan rakyat di negeri-negeri lain.

Mungkin juga perjuangan itu sudah tersebar ke setiap penjuru dunia. Kata Tok Guru Nik Aziz, munajat 40 ulama di Makah, bumi yang penuh berkat tahun lepas, rupa-rupanya mulai nampak sinarnya.

Alhamdulillah, tiada siapa pun menjangka situasi ini boleh berlaku. Cuba kita tengok kesemua kenyataan dikeluarkan pemimpin Umno sama ada di Kelantan atau pusat. Tiada seorang pun yang membayangkan royalti 5 peratus menjadi hak rakyat Kelantan.

Lebih-lebih lagi Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Dr Awang Adek Hussin, seolah-olah mereka menjadi musuh kepada saudara mereka di Kelantan yang berjuang untuk mendapatkan royalti petroleum.

Kenyataan Kelantan tidak layak, perairan bertindih, lebih 2 batu nautika, Ordinan Darurat dan macam-macam lagi alasan diberi. Itulah kenyataan yang diulang-ulang hampir empat tahun lalu.

Semua orang tahun kenyataan tersebut lebih bermesej politik. Namun kepalsuan tidak mungkin bertahan lama. Sesiapa pun tidak mampu menyorok kebenaran ketika dunia semakin hilang sempadan geografi.

Kasihan mereka kerana anutan politik kebendaan yang tidak bergaul dengan unsur agama. Sama ada rakyat Kelantan boleh maafkan mereka di bulan penuh berkat ini, terpulang kepada diri masing-masing.

Lebih-lebih lagi Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti) diketuai Nazri Deraman dan Gerakan Kembalikan Royalti Minyak Rakyat Kelantan (Gegar) dikepalai Dr Abdul Halim Yusoff.

Bahkan Sultan Muhammad V pernah bertitah supaya gas didaratkan di pantai Bachok. Dan plat tuntutan royalti dan pendaratan gas juga ditandatangani baginda.

Malah Ketua Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah awal-awal lagi menyatakan sokongan kepada tuntutan royalti petroleum Kelantan. Bekas Presiden Semangat 46 itu begitu konsisten biar pun berdepan dengan pelbagai cemuhan rakan-rakannya sendiri dalam Umno.

Terbaru Ku Li mahukan supaya pemberian royalti kepada Kelantan diselesaikan segera sebelum pilihan raya umum ke-13.

Itu belum lagi diambil kira “Amanat Tun Razak” berkaitan perjanjian di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974. Selain itu perjanjian Kelantan dengan Petronas pada 9 Mei 1975.

Royalti petroleum dan gas sebanyak 5 peratus yang dituntut rakyat Kelantan kini tertunggak sebanyak RM7 bilion sejak 2005. Apa pun kita tunggu esok, benarkah bulan akan jatuh ke riba. Selamat Datang Perdana Menteri kita.

-HD

15 comments:
Write comments
  1. Dulu Lembaga Padi dan Beras Negara kini Padiberas Nasional Bhd(BERNAS). Asalnya milik penuh Kerajaan yg sgt strategik terhadap sekuriti makanan negara.

    Bila dikorporatkan dan disenaraikan di Papan Utama Bursa Msia pada ogos 1997, pegangan Kerajaan menyusut begitu rendah. Firma pelaburan dari Hong Kong, Wang Tak Co Ltd muncul pemegang saham tunggal terbesar iaitu 147.51 juta saham atau 31.36 peratus daripada keseluruhan 470.402 juta saham Bernas.

    Kerajaan BN pertaruhkan soal sekuriti makanan kpd sykt asing semata2 fikir untung. Inilah transformasi agaknya. Lepas Bernas, Felda...lepas tu Felcra dan Risda. Jual lah semuanya pada sykt luar...

    Dlm Perhimpunan Agong UMNO, berdegar2 berbicara soal melayu...
    UMNO mesti jadi tunggak orang melayu, kepentingan institusi melayu.
    Pergi Luar Negeri, gadai semuanya; sebab apa...boleh masyukkk

    ReplyDelete
  2. Saya hendak cerita sikit pasal janji perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada rakyat mengenai bayaran royalty minyak kepada kerajaan umno/BN Terengganu.

    Janji tersebut dibuat didepan Datuk Seri Ahmad Said dan puluhan ribu penyokong umno/BN dalam suatu majlis bersama rakyat tidak lama dahulu.

    Najib berjanji akan membayar royalty minyak yang ditarik balik semasa PAS memerintah negeri kaya rakyat miskin itu.

    Sehingga hari ini pembayaran yang dijanjikan itu belum dikotakan, sebalik janji pembayaran itu dibuat menerusi tuntutan kerajaan negeri pada dana khas persekutuan.

    Ada projek yang dilaksanakan oleh kerajaan Terengganu baru mendapat pembayaran..Bermakna janji hendak bayar royalty dimasukkan dalam akaun kerajaan yang disatukan sampai hari belum dikotakan.

    Sebab itu projek di Terengganu gila gila. Bayangkan satu jambatan sungai Nerus berharga RM 210 juta. Sebatang jalan Jeram teluk Pasu sepanjang 5.6 kilo meter berharga RM 250 juta.

    ReplyDelete
  3. boleh pecaya ke ..rakyat tak pecaya pun ...

    ReplyDelete
  4. Pasti ada jalan penyelesaian kepada hal ini.

    ReplyDelete
  5. Kita mesti berfikiran positif dalam menangani masalah ini.

    ReplyDelete
  6. Agaknya apalah kejutan tu..

    ReplyDelete
  7. Ada juga royalti tertunggak?kalau dapat semua sekali banyak tu. RM7 juta..

    ReplyDelete
  8. Kita tunggulah dan lihat sama ada Datuk Najib Razak akan membuat kejutan semasa melawat ke Kelantan.

    ReplyDelete
  9. Entahlah mana fanatik PAS ini mendapatkan maklumat bahawa ada kejutan bakal dibuat? Kita tunggu sajalah kedatangan PM.

    ReplyDelete
  10. Agak2 berapa % royalti minyak akan Kelantan dapat, Sabah pun mahu juga

    ReplyDelete
  11. Mudah2an kejutan yang positif dan memberi manfaat kepada rakyat

    ReplyDelete
  12. klu ada kejutan royalti minyak pun, rakyat kelantan ada peduli???

    ReplyDelete
  13. Baru sekarang mahu bayar? Selama ini tidak dibayar?

    ReplyDelete
  14. RM7 billion? Banyak gila. Tertunggak dari 2005? Macam mana juga boleh jadi macam tu??

    ReplyDelete
  15. kita dengar apa kejutan itu.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.